Make your own free website on Tripod.com
 


:: Revolusi CGI dalam industri perfileman
Bagi peminat setia filem Star Wars sudah tentu pernah terbaca atau terdengar ungkapan ini “Every generation has a legend, every journey has a first step, every saga has a beginning...” Ungkapan itu memang sesuai jika dikaitkan dengan filem Final Fantasy: The Spirit Within yang ditayangkan bermula pertengahan Julai lalu.

Filem yang diterbitkan dan diarahkan oleh Hironobu Sakaguchi ini dianggap sebagai pemula kepada satu lagi revolusi dalam industri perfileman. Hal ini kerana filem ini menggunakan sepenuhnya rekaan grafik komputer dalam penghasilan watak-watak utamanya. Namun, Final Fantasy: The Spirit Within bukanlah filem animasi pertama yang menggunakan teknik CGI (Computer Graphic Imagery). Filem Toy Story dapat dianggap filem pertama yang menggunakan CGI sepenuhnya.
 

Walau bagaimanapun Toy Story belum dianggap revolusi sepenuhnya pengimejan watak menerusi komputer. Hal ini kerana watak-watak yang digunakan dalam Toy Story bukan watak manusia. Di samping itu watak-watak di dalam Toy Story tidak menggunakan ekspresi wajah. Berbeza dengan Final Fantasy: The Spirit Within, watak manusia sama ada ekspresi wajah, kedutan kulit, bintik-bintik kulit, pergerakan watak, dan sebagainya dibuat dengan teliti sehingga hampir menyamai manusia sebenar.

Hal ini dapat dibuktikan apabila ada penonton yang merungut semasa mula-mula menonton filem ini. Penonton itu berkata kepada rakan disebelahnya “Awak kata ini filem animasi 3D, kenapa orang betul yang berlakon...”. rungutan penonton ini menunjukkan bahawa filem ini berjaya dalam usahanya mewujudkan pelakon maya seperti yang diimpikan oleh pereka animasi sebelum ini. Setiap perjalanan itu bermula langkah yang pertama. era digital boleh dianggap bermula melalui filem Star Wars.

Filem yang muncul pada penghujung tahun 1970-an yang dianggap satu revolusi dalam industri perfileman ketika itu sebenarnya langkah pertama kepada filem Final Fantasy: The Spirit Within. Filem Star Wars boleh dianggap sebagai satu fantasi yang berjaya diterjemahkan ke dalam dunia realiti. Pada peringkat tersebut penggunaan CGI hanya terbatas kepada ‘watak-watak’ pembantu yakni bangunan, kapal angkasa, robot, dan sebagainya. Watak-watak utama masih lagi dipegang oleh manusia.

Untuk mendapat hasil yang seperti yang ada pada Final Fantasy: The Spirit Within, bukanlah semudah yang disangka. Penerbit filem ini memilih Honolulu, Hawaii sebagai tapa studionya. Hal ini kerana kedudukan Hawaii dianggap hampir dengan Amerika dan Jepun yang merupakan penyumbang utama kakitangan. Filem ini menggunakan khidmat 200 orang artis grafik terbaik daripada 22 negara dan menggunakan teknologi komputer grafik yang terkini. Mereka menggunakan SGI (Silicon Graphic Ink) dan Perisian SG yang dicipta khusus untuk filem ini. Kesemua artis ini pernah terbabit dalam pembikinan filem-filem seperti Godzilla, Titanic, The Matrix, bekas animator Disney, dan beberapa filem lain.

Semasa proses pembikinan filem ini, kawalan keselamatan begitu ketat. Untuk memasuki studio, pintunya hanya boleh dibuka dengan menggunakan kod kunci elektrik, di samping kamera keselamatan. Studio ini pula dilengkapi tercanggih termasuk komputer dan perisiannya. Untuk mendapatkan pergerakan manusia yang realistik, sekumpulan pelakon telah digunakan. Mereka memakai pakaian khas yang dilengkapkan dengan tanda-tanda khas pada setiap sudut anggota. Setiap pergerakan dirakam oleh komputer untuk diambil datanya.

Sebahagian besar kakitangan yang terbabit dengan filem ini datangnya dari Jepun. Hal ini memang tidak dapat disangkal kerana negara matahari terbit itu memang terkenal tentang kepakarannya dalam menghasilkan filem animasi. Walaupun karyawan jepun bukanlah orang yang mengasaskan filem animasi, tetapi mereka berjaya memajukan lagi penemuan yang dibuat oleh barat. Final Fantasy: The Spirit Within boleh dianggap sebagai pemula dalam mewujudkan filem tanpa pelakon. Asas ini mungkin menjadi satu anjakan kepada industri perfileman untuk menerokai satu ruang tanpa sempadan.
 

Dalam keghairahan melihat revolusi demi revolusi dalam industri filem, Malaysia masih tercari-cari arah. Karyawan tempatan masih pada peringkat bertatih; belum mampu berjalan, apatah berlari seperti penggiat filem Jepun atau Hollywood. Jurang antara karyawan mereka dengan karyawan Malaysia masih terlalu jauh. Mungkin anda terpaksa menunggu 50 tahun lagi untuk melihat George Lucas atau Hironobu Sakaguchi versi Malaysia. Namun, tidak ada yang mustahil, benih yang ditanam pada hari ini tidak mungkin akan diperoleh buahnya pada esok hari. Anda mungkin terpaksa menunggu puluhan tahun. Tetapi jika anda langsung tidak menanam apa-apa pada hari ini, anda langsung tidak memperoleh apa-apa pada kemudian hari. Belajarlah daripada karyawan Jepun. Mereka meniru daripada orang barat dan memajukan apa-apa yang ditiru. Jadikan fantasi anda satu realiti suatu hari nanti!


 
1999/2000/2001
©Allright Reserved by
Mohd Hafiz Yahaya