))|PERUTUSAN BELANJAWAN 2002|((
Oleh/By  : DATO SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue: DEWAN NEGARA
Tarikh/Date: 06-12-2001
Tajuk/Title : PERUTUSAN BELANJAWAN TAHUN 2002
 

----------------------------------------------------------------------

Download Teks Ucapan
 Buka / Download teks dalam fail pdf
 
 
 
 

 Saya  mohon  mencadangkan  supaya  suatu  Rang  Undang-
  undang  bertajuk "Suatu Akta bagi menggunakan  sejumlah
  wang    daripada   Kumpulan   Wang   Disatukan    untuk
  perkhidmatan  bagi  tahun 2002 dan bagi  memperuntukkan
  wang  itu  untuk  perkhidmatan bagi tahun  itu"  dibaca
  bagi kali yang kedua.

  2.         Syukur  kita  ke hadrat Allah  Subhanahu  Wa
  Taala   kerana  dapat  bersama  pada  pagi  ini   untuk
  membentangkan   Belanjawan   2002   yang   telah   saya
  bentangkan  dalam  Dewan Rakyat pada  19  Oktober  yang
  lalu.   Belanjawan  ini disediakan  dalam  persekitaran
  luar  yang sukar dan mencabar.  Prestasi ekonomi  dunia
  yang  semakin  lemah  sejak awal tahun  ini,  berikutan
  kelembapan   ekonomi   Amerika  Syarikat   dan   Jepun,
  diburukkan lagi oleh kejadian serangan 11 September  ke
  atas Amerika Syarikat. Untuk mengurangkan kesan negatif
  ke  atas ekonomi negara, Kerajaan telah bertindak cepat
  dengan  melaksanakan  pakej rangsangan  ekonomi  dengan
  peruntukan sebanyak 4.3 bilion ringgit sebagai tambahan
  kepada 3 bilion ringgit yang diumumkan dalam bulan  Mac
  2001.

  3.         Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku
  ketiga telah mengalami pertumbuhan negatif sebanyak 1.3
  peratus  berbanding dengan pertumbuhan positif sebanyak
  3.1  peratus pada suku pertama dan 0.5 pada suku kedua.
  Kita   masih  dapat  mengelak  kemelesetan  pertumbuhan
  ekonomi  bagi  tempoh sembilan bulan  pertama  di  mana
  pertumbuhan  KDNK  masih positif,  iaitu  sebanyak  0.7
  peratus,  berbeza dengan beberapa negara di rantau  ini
  yang  telah mengalami kemelesetan. Singapura umpamanya,
  telah  mengalami kemerosotan sebanyak 0.5 peratus  pada
  suku  kedua dan 5.6 peratus untuk suku ketiga, manakala
  Taiwan,  2.4  peratus bagi suku kedua dan  4.2  peratus
  untuk suku ketiga.

  4.           Keadaan   ekonomi   dunia   yang    kurang
  memberangsangkan,  pastinya  tidak   membolehkan   kita
  terlalu  bergantung  kepada sektor luar  untuk  menjana
  pertumbuhan.    Oleh   yang   demikian,   kita    perlu
  melaksanakan strategi domestic-led growth, dengan izin.
  Punca pertumbuhan kini perlu lebih dipelbagaikan dengan
  disokong   oleh  dasar  rangsangan  fiskal  dan   dasar
  kewangan yang akomodatif.

  5.           Kerajaan   telah   melaksanakan   strategi
  rangsangan  fiskal sejak tahun 1998. Namun,  pengurusan
  kewangan yang berhemah telah membolehkan Kerajaan terus
  melaksanakan strategi ini. Kadar tabungan  negara  yang
  tinggi  sebanyak 33.6 peratus daripada KDNK membolehkan
  Kerajaan   menggunakan  sumber   dalam   negeri   untuk
  membiayai  sebahagian besar defisit.  Pada  tahun  ini,
  keseluruhan  defisit fiskal masih terkawal  pada  paras
  6.5  peratus daripada KDNK. Di samping itu, hutang luar
  negara  berada  pada  paras rendah iaitu  46.9  peratus
  daripada  KDNK, manakala nisbah khidmat  hutang  kepada
  eksport adalah rendah sebanyak 5.8.

  6.         Asas  ekonomi negara yang terus  kukuh  juga
  memberi fleksibiliti kepada Kerajaan untuk melaksanakan
  rangsangan fiskal.   Asas-asas ekonomi ini meliputi:

  i.    rizab   antarabangsa  negara  yang kukuh berjumlah
  116.5 bilion ringgit atau 30.7 bilion dolar Amerika pada
  akhir  November,   mampu   membiayai   5  bulan   import
  tertangguh. Paras rizab ini melebihi 6 kali hutang  luar
  negara   jangka  pendek;

  ii.   imbangan perdagangan luar masih  mencatat  lebihan
  untuk  48 bulan berturut-turut bagi tempoh November 1997
  hingga Oktober tahun ini;

  iii. akaun semasa imbangan pembayaran negara berada dalam
  kedudukan lebihan sebanyak 7.9 peratus daripada  Keluaran
  Negara Kasar (KNK);

  iv.  jumlah pengaliran masuk  bersih  pelaburan  langsung
  asing telah kembali meningkat sebanyak 3.8 bilion ringgit
  bagi  tempoh  suku  ketiga  tahun  ini.  Peningkatan  ini
  merupakan pertama kali semenjak suku pertama tahun 2000;

  v. sistem  perbankan  negara kekal  teguh  dengan  nisbah
  modal  berwajaran risiko sebanyak 12.7 peratus,  melebihi
  paras  8  peratus piawaian antarabangsa,  manakala  paras
  pinjaman  tidak berbayar (NPL) masih terkawal, iaitu  8.2
  peratus pada akhir Oktober; dan

  vi. tekanan inflasi kekal rendah pada kadar  1.4  peratus
  dalam tempoh Januari hingga Oktober.

  7.        Selain rangsangan fiskal, dasar kewangan yang
  akomodatif   terus   dilaksanakan,  terutamanya   untuk
  meningkatkan    sentimen   pelabur   dan    mengukuhkan
  keyakinan   pengguna.  Pelbagai  kemudahan   pembiayaan
  pinjaman   pada   kadar  faedah   yang   rendah   telah
  disediakan,  terutamanya  untuk  Perusahaan  Kecil  dan
  Sederhana.   Aktiviti pinjaman dijangka meningkat  lagi
  dengan langkah Bank Negara Malaysia mengurangkan  kadar
  campur  tangan  3  bulan sebanyak  5  peratus  pada  20
  September  2001. Kadar berian pinjaman asas (BLR)  bagi
  bank    perdagangan   dan   syarikat   kewangan   telah
  berkurangan ke paras terendah pernah dicatatkan, masing-
  masing sebanyak 6.4 peratus dan 7.45 peratus.

  8.        Berasaskan kedudukan ekonomi makro yang masih
  kukuh,   langkah  Kerajaan  untuk  merangsang   ekonomi
  merupakan  tindakan  yang bijak. Walaupun  langkah  ini
  dipersoalkan   oleh  Institusi  Kewangan  Antarabangsa,
  namun dalam situasi yang sama, negara-negara maju  juga
  telah melaksanakan langkah yang sama.

  9.         Untuk  makluman  Ahli-ahli  Yang  Berhormat,
  Kerajaan sedang memperkemaskan lagi jentera pelaksanaan
  untuk  memastikan peruntukan yang disediakan  di  bawah
  Belanjawan 2001 dan peruntukan tambahan di bawah  pakej
  rangsangan   sebanyak   7.3   bilion   ringgit    dapat
  dibelanjakan.  Daripada jumlah  pakej  rangsangan  ini,
  sebanyak   1.2   bilion  ringgit   diperuntukkan   bagi
  meningkatkan infrastruktur pendidikan seperti pembinaan
  kolej  universiti, kolej komuniti dan  makmal  komputer
  serta   perbelanjaan  penyelenggaraan  sekolah-sekolah.
  Kerajaan  juga  sedang membelanjakan 1  bilion  ringgit
  bagi  projek-projek kecil untuk dilaksanakan di seluruh
  negara.  Projek-projek  tersebut  melibatkan  pembinaan
  jalan-jalan kampung dan kemudahan asas seperti  bekalan
  air  dan  elektrik  luar bandar serta  balai  raya  dan
  sebagainya.  Dalam hubungan ini, rakyat akan  menikmati
  kemudahan tersebut,  syarikat kecil Bumiputera mendapat
  kontrak,   peniaga dapat membekalkan bahan  binaan  dan
  seterusnya   pertumbuhan   ekonomi   terjana.    Adalah
  dianggarkan  sebahagian  besar daripada  hampir  17,500
  kontraktor Kelas F Bumiputera berpeluang terlibat dalam
  projek-projek  kecil ini.  Oleh yang demikian,  amatlah
  penting   sekali  supaya  semua  pihak   iaitu   agensi
  Kerajaan,  kontraktor  dan pembekal  memastikan  bahawa
  program   ini   berjaya  dilaksanakan  dan   seterusnya
  mengelakkan negara daripada mengalami kemelesetan.

  10.        Di  bawah pakej rangsangan ini  juga  kerja-
  kerja  penyelenggaraan bangunan dan  kuarters  Kerajaan
  bagi Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan  dan
  Polis  DiRaja Malaysia sedang giat dilaksanakan.  Tidak
  ketinggalan juga, kerja-kerja penyelenggaraan jalan  di
  kawasan  industri akan dimulakan segera. Kerajaan  juga
  telah  memperuntukkan sebanyak 300  juta  ringgit  bagi
  pemulihan   projek-projek   rumah   kos   rendah   yang
  terbengkalai di seluruh negara.

  11.        Kelembapan ekonomi yang mula  dirasai  telah
  menjejaskan  pasaran buruh di mana ramai pekerja  telah
  diberhentikan   sementara   peluang   pekerjaan    baru
  berkurangan,  terutamanya  bagi  graduan  baru  lepasan
  institusi pengajian tinggi.  Bagi mereka ini,  sebanyak
  300  juta  ringgit  telah  disediakan  di  bawah  pakej
  rangsangan  untuk melatih mereka dalam bidang  ICT  dan
  kemahiran bahasa.

  12.        Walaupun  bagi  suku tahun  ketiga   ekonomi
  negara  telah  mengalami pertumbuhan negatif,  Kerajaan
  yakin  bahawa  dengan  terlaksananya  pakej  rangsangan
  fiskal  ini,  ekonomi negara akan mencapai  pertumbuhan
  positif bagi keseluruhan tahun 2001, Insya Allah.

  13.        Prospek pertumbuhan ekonomi bagi tahun  2002
  banyak  bergantung kepada perkembangan luar yang  masih
  sukar  dan  kian mencabar.  Pertumbuhan  ekonomi  dunia
  kini  diramalkan  lebih perlahan.  Memandangkan  kepada
  kedudukan   ini,  pertumbuhan  ekonomi  negara    perlu
  didorong  oleh  kegiatan dalam negeri. Dengan  wujudnya
  asas ekonomi negara yang kukuh serta langkah rangsangan
  fiskal  yang  dilaksanakan oleh  Kerajaan,  pertumbuhan
  ekonomi  dijangka meningkat antara 4 hingga  5  peratus
  pada   tahun  hadapan.  Kesemua  sektor  ekonomi  utama
  dijangka  akan  terus  mencatat pertumbuhan,  diterajui
  oleh   sektor  pembuatan  dan  perkhidmatan.   Meskipun
  perkembangan sektor luar tidak menentu, negara dijangka
  terus  mencatat  lebihan dalam  akaun  semasa  imbangan
  pembayaran. Pendapatan per kapita bertambah 4.7 peratus
  kepada  13,962 ringgit bagi tahun 2002, melebihi  tahap
  sebelum krisis kewangan serantau, iaitu 12,314 ringgit.
 

  STRATEGI BELANJAWAN 2002

  14.        Dengan  mengambilkira  perkembangan  ekonomi
  dunia yang semakin mencabar, pertumbuhan ekonomi negara
  akan  terus  didorong oleh kecergasan aktiviti  ekonomi
  dalam  negeri. Justeru, Belanjawan 2002 akan ditumpukan
  kepada tiga strategi berikut:

  i.  memperkukuhkan semula  pertumbuhan  ekonomi  negara
  melalui    peningkatan   perbelanjaan   dalam   negeri,
  mempergiatkan   lagi   peranan  sektor   swasta   serta
  meningkatkan daya saing;

  ii. mempelbagaikan  sumber pertumbuhan melalui  aktiviti
  dagangan dan perusahaan dalam  negeri tanpa mengurangkan
  peranan  pelaburan  dari luar  dan mempastikan   eksport
  negara terus berkembang; dan

  iii. menentukan agihan kekayaan  supaya  lebih   saksama
  antara bandar dan luar bandar, antara yang berpendapatan
  rendah dan yang berpendapatan tinggi dan antara negeri-
  negeri yang kurang maju dengan yang lebih maju.
 

  Strategi Pertama: Memperkukuhkan Semula Pertumbuhan
                    Ekonomi Negara

  15.        Untuk  mengukuhkan  semula  ekonomi  negara,
  Kerajaan berusaha untuk meningkatkan perbelanjaan dalam
  negeri    dengan    meneruskan    rangsangan    fiskal,
  menggalakkan penggunaan dan menggiatkan peranan  sektor
  swasta.   Untuk  meneruskan  rangsangan  fiskal,   saya
  mencadangkan    sejumlah    100.52    bilion    ringgit
  diperuntukkan   bagi  Belanjawan  tahun   2002,   iaitu
  pertambahan  10.4  peratus berbanding  peruntukan  asal
  tahun  2001.  Daripada jumlah tersebut, sebanyak  66.98
  bilion  ringgit adalah untuk Perbelanjaan Mengurus  dan
  33.54  bilion  ringgit untuk Perbelanjaan  Pembangunan.
  Dengan  mengambil  kira anggaran  hasil  sebanyak  73.4
  bilion  ringgit, akaun keseluruhan Kerajaan Persekutuan
  dijangka   mencatatkan  defisit  sebanyak   5   peratus
  daripada KDNK, lebih rendah dari 6.5 peratus pada tahun
  2001.

  16.         Di   bawah   Perbelanjaan   Mengurus   yang
  dicadangkan,    sejumlah    33.33    bilion     ringgit
  diperuntukkan  kepada  Pemberian  dan  Kenaan   Bayaran
  Tetap.  Antaranya, adalah untuk bayaran khidmat  hutang
  negara,  bayaran  pencen dan ganjaran  serta  sumbangan
  kepada kumpulan-kumpulan wang terkanun. Sebanyak  17.58
  bilion   ringgit  lagi  untuk  Emolumen,  12.07  bilion
  ringgit  untuk  Perkhidmatan dan Bekalan,  1.53  bilion
  ringgit   untuk  pembelian  kelengkapan  dan  kemudahan
  pejabat  serta  2.47 bilion ringgit  bagi  perbelanjaan
  lain, termasuk bayaran balik cukai.

  17.       Daripada jumlah Perbelanjaan Pembangunan yang
  dicadangkan,  sebanyak 13.11 bilion ringgit  atau  39.1
  peratus  adalah untuk sektor ekonomi, di samping  12.21
  bilion  ringgit atau 36.4 peratus untuk sektor  sosial,
  3.31  bilion  ringgit  atau  9.9  peratus  bagi  sektor
  keselamatan  dan 2.91 bilion ringgit atau  8.7  peratus
  untuk sektor pentadbiran am. Bakinya, sebanyak 2 bilion
  ringgit atau 5.9 peratus untuk Simpanan Luar Jangka.

  18.       Aktiviti ekonomi dalam negeri boleh digiatkan
  lagi    sekiranya   pendapatan   boleh   guna    rakyat
  dipertingkatkan  untuk menggalakkan penggunaan.  Dengan
  ini,  kadar  cukai  pendapatan individu  dikurangkan  1
  hingga 2 mata peratusan bagi semua kumpulan pendapatan.
  Bagi  mendorong daya usaha bekerja, pendapatan bercukai
  yang   tertakluk   kepada  kadar  tertinggi   dinaikkan
  daripada melebihi 150 ribu ringgit kepada melebihi  250
  ribu ringgit dan sekatan ke atas bonus yang diberi oleh
  sektor swasta dimansuhkan.

  19.        Sektor swasta  juga perlu tampil ke  hadapan
  untuk   memainkan  peranan  yang  lebih   utama   dalam
  menggerakkan  ekonomi.  Bagi  mendorong  sektor  swasta
  meningkatkan  pelaburan dan mengurangkan kos  kendalian
  perniagaan,  Kerajaan telah mengambil pelbagai  langkah
  percukaian seperti berikut:

  i. Tempoh Elaun Pelaburan Semula dilanjutkan daripada 5
  tahun kepada 15 tahun;

  ii. Perbelanjaan dan sumbangan syarikat dalam pengurusan
  RosettaNet Malaysia dan  dalam membantu  syarikat  kecil
  dan  sederhana  menggunakan  RosettaNet  diberi potongan
  cukai;

  iii. Elaun Bangunan Industri dikaji  semula  melibatkan
  kenaikan  elaun  tahunan daripada 2  peratus  kepada  3
  peratus,  elaun  permulaan 10  peratus yang kini  hanya
  diberi kepada bangunan yang dibina diperluaskan  kepada
  bangunan yang dibeli dan Elaun Bangunan Industri diberi
  kepada semua hotel;

  iv.   duti  import  ke  atas  226  barangan dikurangkan
  daripada  di  antara  5  peratus dan 105 peratus kepada
  di antara  0   peratus dan 50 peratus;

  v.  pendapatan sewa  kontena yang diterima  oleh  bukan
  pemastautin  daripada syarikat perkapalan  di  Malaysia
  dikecualikan daripada cukai pendapatan; dan

  vi.   pendapatan   persatuan    perdagangan    daripada
  subscription fee dikecualikan cukai pendapatan

  20.        Bagi  menggalakkan  industri  melabur  dalam
  aktiviti   bernilai   tambah   yang   tinggi    seperti
  perkhidmatan  logistik, perkhidmatan  sokongan  pasaran
  bersepadu  dan  pusat  perkhidmatan  utiliti,  syarikat
  terlibat diberi pengecualian cukai pendapatan selama  5
  tahun dan pengecualian duti import dan cukai jualan  ke
  atas peralatan yang digunakan.

  21.        Peranan  sektor  swasta juga  penting  dalam
  usaha negara untuk beralih ke arah kegiatan pertumbuhan
  K-economy    atau   ekonomi   berasaskan   pengetahuan.
  Penyertaan  mereka dalam pembangunan  ICT  negara  akan
  diberi   perhatian  oleh  Kerajaan  melalui   penubuhan
  Malaysia Venture Capital Management Berhad atau  MAVCAP
  dengan  dana  berjumlah  500  juta  ringgit.   Daripada
  jumlah  tersebut, 100 juta ringgit adalah untuk  dengan
  izin,  local  outsourcing program, yang akan  diuruskan
  oleh 4 syarikat modal teroka tempatan dalam bidang ICT,
  bioteknologi dan industri-industri yang berkaitan.

  22.        Bagi menggalakkan lagi penggunaan ICT  dalam
  perdagangan  yang membolehkan Malaysia  menjadi  lokasi
  perniagaan   yang  menarik,  mempercepatkan  penguasaan
  teknologi  terkini  dan menambah  tenaga  kerja  mahir,
  galakan berikut turut disediakan:

  i.  cukai  ke atas pendapatan daripada perdagangan  luar
  pesisir melalui website di Malaysia dikurangkan daripada
  28 peratus kepada 10 peratus selama 5 tahun;

  ii. kos  bagi membangunkan website untuk perniagaan juga
  diberi  potongan tahunan sebanyak 20 peratus  selama  5
  tahun;

  iii. potongan tahunan  ke  atas perbelanjaan memperolehi
  hak empunya  dinaikkan  daripada  10  peratus kepada  20
  peratus untuk tempoh 5 tahun; dan

  iv.    perbelanjaan  menyediakan  latihan  amali  kepada
  bukan kakitangan diberi potongan cukai.
 

  23.         Kerajaan   turut   menyediakan   peruntukan
  sebanyak 300.8 juta ringgit untuk melaksanakan Aplikasi
  Perdana    Kerajaan   Elektronik,   Sekolah    Bistari,
  Teleperubatan,  Kad  Pintar  dan  Integrasi   Aplikasi.
  Sejumlah  693.2  juta  ringgit  juga  disediakan  untuk
  meningkatkan program pengkomputeran di kementerian  dan
  jabatan   Kerajaan   dan   di   sekolah-sekolah.   Bagi
  meningkatkan  penggunaan kad pintar pelbagaiguna  dalam
  urusniaga kewangan, kad pintar dan peralatannya  diberi
  pengecualian cukai jualan.
 

  Strategi Kedua:   Mempelbagaikan Sumber  Pertumbuhan

  24.          Sebagai   usaha   mempelbagaikan    sumber
  pertumbuhan  dalam negeri, terdapat banyak bidang  yang
  boleh diceburi dalam sektor perkilangan, pertanian  dan
  perkhidmatan. Keluaran perkilangan, terutamanya  produk
  oleokimia  berasaskan minyak kelapa  sawit,  getah  dan
  perabot   perkayuan  serta  produk  industri  peralatan
  elektrik  rumah, semuanya mempunyai potensi  permintaan
  yang  tinggi, terutamanya dari Asia Barat  dan  Afrika.
  Begitu juga dengan keluaran industri fabrikasi besi dan
  aluminium  serta  pengeluaran  mesin,  perlu  digiatkan
  lagi,  terutamanya  bagi menampung  keperluan  industri
  tempatan  dan  juga  eksport.  Justeru,  galakan  cukai
  disediakan seperti berikut:

  i.  kadar pengecualian cukai Taraf  Perintis  dinaikkan
  daripada 70 peratus kepada 100 peratus dan Elaun  Cukai
  Pelaburan  daripada 60 peratus kepada 100 peratus  bagi
  aktiviti  pengeluaran machine tools, plastic  injection
  machines,  material handling  equipment  dan   robotic,
  factory automation equipment serta components and parts;
  dan

  ii.  kriteria  nilai  ditambah  bagi Taraf Perintis dan
  Elaun Cukai  Pelaburan dilonggarkan daripada 30 peratus
  kepada 20 peratus bagi pengeluaran mesin dan peralatan.

  25.        Kerajaan sentiasa memastikan eksport  negara
  terus  berkembang.  Untuk ini, galakan cukai  berkaitan
  disediakan:

  i. syarikat  Malaysia yang diiktiraf  sebagai  syarikat
  perdagangan  antarabangsa  diberi  pengecualian   cukai
  pendapatan  bersamaan  10  peratus  ke atas peningkatan
  nilai eksport dan kriteria kelayakan dilonggarkan;

  ii. pengecualian  cukai  pendapatan  bagi   pengeksport
  perkhidmatan ditingkatkan daripada 10 peratus kepada 50
  peratus daripada peningkatan nilai eksport;

  iii. penganjur  pameran  perdagangan  antarabangsa  yang
  melibatkan  sekurang-kurangnya 500 orang pelawat  asing
  setahun diberi pengecualian cukai pendapatan;

  iv. skop perbelanjaan bagi tujuan potongan cukai  dalam
  promosi eksport barangan dan perkhidmatan diperluaskan;

  v.  perbelanjaan  pendaftaran paten di luar  negara  dan
  bayaran  sewa  hotel  kepada bakal pengimport  barangan
  Malaysia diberi potongan cukai; dan

  iv.  galakan potongan cukai dua kali diperluaskan kepada
  kos pengiklanan jenama Malaysia yang telah didaftarkan di
  luar  negara dan perbelanjaan ke atas yuran profesional
  kepada syarikat yang mempromosikan jenama Malaysia.

  26.        Sektor pertanian perlu dibangunkan ke  tahap
  yang  lebih  tinggi,  supaya negara dapat  mengeluarkan
  pelbagai   hasil  tanaman  dan  ternakan,  di   samping
  mengurangkan  bil import negara.  Pengeluaran  makanan,
  termasuk  keluaran daging burung unta dan rusa, sayuran
  dan  buah-buahan,  akuakultur ikan air  tawar  dan  air
  masin,  udang dan tiram serta ikan hiasan  dan  tanaman
  bungaan  boleh  diceburi. Bidang herba tradisional  dan
  makanan  halal  perlu  juga  dipergiatkan.   Sehubungan
  dengan  ini, sejumlah 1.58 bilion ringgit diperuntukkan
  kepada  sektor  pertanian untuk  meningkatkan  kegiatan
  penanaman    dan    penternakan   serta    menggalakkan
  pengeluaran  bekalan  bahan makanan.  Di  samping  itu,
  galakan cukai berikut disediakan:

  i. syarikat pengeluar bahan makanan yang melabur semula
  diberi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus selama
  5 tahun;

  ii. elaun  100  peratus ke atas perbelanjaan modal  bagi
  menggalak pengeluaran bahan makanan secara besar-besaran
  diperluaskan;

  iii.  aktiviti penternakan ayam itik  di  Koridor  Timur
  Semenanjung   Malaysia, Sabah dan Sarawak  diberi  Taraf
  Perintis atau  Elaun Cukai Pelaburan; dan

  iv.   syarikat pengeluar produk berasaskan  sumber  yang
  membuat  pelaburan  semula diberi  Taraf  Perintis  atau
  Elaun  Cukai Pelaburan selama 5 tahun.

  27.       Peranan sektor perkhidmatan juga mesti diberi
  tumpuan,    terutamanya   dalam   bidang   pelancongan,
  pendidikan  dan  pengangkutan. Untuk menggalakkan  lagi
  aktiviti   pelancongan  negara,  sejumlah  613.9   juta
  ringgit  diperuntukkan  kepada Kementerian  Kebudayaan,
  Kesenian dan Pelancongan. Daripada jumlah tersebut, 200
  juta  ringgit  adalah  untuk  aktiviti  promosi.  Untuk
  meningkatkan  penyertaan sektor swasta  dalam  industri
  pelancongan,  Kerajaan akan menambah dana  bagi  Tabung
  Khas  Pelancongan daripada 200 juta ringgit kepada  400
  juta  ringgit.  Langkah-langkah cukai turut  disediakan
  seperti berikut:

  i. pendapatan  sewaan  kapal  layar  atau  kapal  mewah
  bermotor diberi pengecualian cukai selama 5 tahun;

  ii.  duti  import  ke  atas motosikal  mewah  dikurangkan
  daripada  120 peratus  kepada 60 peratus dan bagi  tujuan
  penyelarasan, duti import bagi motosikal lain dikurangkan
  daripada 80 peratus dan 100 peratus kepada 60 peratus;

  iii.  had  tempoh  pengecualian cukai pendapatan  daripada
  perniagaan   pengendalian  pelancong  asing  dan  tempatan
  dilanjutkan selama 5 tahun lagi;   dan

  iv.   duti  eksais ke atas pembelian kereta nasional  oleh
  pengusaha kereta sewa dikecualikan.

  28.        Bidang  pendidikan juga diberi tumpuan  bagi
  menampung  keperluan tenaga mahir  dalam  era  kemajuan
  teknologi maklumat dan persediaan untuk beralih ke arah
  ekonomi   berasaskan  pengetahuan.   Kerajaan  berharap
  sektor  swasta  berupaya  untuk  menarik  lebih   ramai
  pelajar dari seluruh dunia untuk menimba ilmu di negara
  kita.  Untuk  mengurangkan  kos  menyediakan  kemudahan
  pendidikan, semua Institusi Pengajian Tinggi Swasta dan
  institusi   bahasa  swasta  diberi  pengecualian   duti
  import,  duti eksais dan cukai jualan ke atas peralatan
  pembelajaran  dan  royalti  yang  diterima  oleh  bukan
  pemastautin dari Institusi Pengajian Tinggi Swasta bagi
  skim  pendidikan  francais  diberi  pengecualian  cukai
  pendapatan.  Di  samping itu, Kerajaan   memperuntukkan
  sejumlah   22.46   bilion   ringgit   untuk   keperluan
  pendidikan negara.

  29.          Langkah-langkah   percukaian    di    atas
  menyebabkan  Kerajaan  kehilangan  hasil  sebanyak  1.2
  bilion  ringgit.   Bagi memastikan  kedudukan  kewangan
  Kerajaan  terus  kukuh dan perolehan  hasil   terjamin,
  langkah-langkah berikut diambil:

  i.  nilai  jualan  tahunan bagi tujuan  pengenaan  cukai
  perkhidmatan  bagi  restoran, bar, snek bar  dan  coffee
  house,  kelab  persendirian   dan  syarikat  pengiklanan
  dikurangkan  daripada 500 ribu ringgit kepada  300  ribu
  ringgit;

  ii.  nilai  jualan  tahunan  sebanyak 300 ribu ringgit ke
  atas perkhidmatan profesional dikurangkan kepada 150 ribu
  ringgit; dan

  iii. harga  petrol dinaikkan  sebanyak  10 sen  seliter.
  30.       Berhubung dengan kenaikan harga petrol, ianya
  adalah  wajar  memandangkan Kerajaan selama  ini  telah
  mengorbankan   begitu  banyak  hasil.  Tambahan   pula,
  sumbangan  kos  petrol  dalam  perbelanjaan    isirumah
  adalah   kecil  iaitu  kira-kira  0.4  peratus  sahaja.
  Memandangkan kenaikan  harga petrol hanya  8.3  peratus
  sahaja,  saya  percaya kenaikan yang  kecil  ini  tidak
  membebankan rakyat.

  31.       Dalam Belanjawan 2002 yang dibentangkan dalam
  Dewan   Rakyat  baru-baru  ini,  Kerajaan  juga   telah
  mencadangkan  kenaikan  harga diesel  sebanyak  10  sen
  seliter    bagi   mengurangkan   perbelanjaan   subsidi
  Kerajaan.   Kerajaan  amat  prihatin  terhadap   rayuan
  pelbagai   pihak,   khususnya  golongan   nelayan   dan
  pengusaha     perkhidmatan    pengangkutan.      Dengan
  keprihatinan  ini  serta  penurunan  harga  diesel   di
  pasaran antarabangsa, Kerajaan  telah menimbang  semula
  dan  memutuskan  untuk mengekalkan  harga  diesel  pada
  paras  asal.  Dengan keputusan ini,  Kerajaan  terpaksa
  menanggung  tambahan subsidi sebanyak 471 juta  ringgit
  setahun  berasaskan  harga  semasa  diesel  di  pasaran
  antarabangsa, menjadikan jumlah subsidi diesel sebanyak
  1.1   bilion  ringgit  setahun.   Oleh  yang  demikian,
  Kerajaan  berharap pihak tertentu tidak lagi  mengambil
  kesempatan   untuk   menaikkan   harga   barangan   dan
  perkhidmatan.

  32.          Untuk   menyokong   perkembangan    sektor
  pengangkutan,  Kerajaan  memperuntukkan  sejumlah   5.7
  bilion    ringgit   bagi   pembangunan    infrastruktur
  melibatkan pembinaan jalan raya dan jambatan,  landasan
  kereta  api, pelabuhan dan lapangan terbang.  Kemudahan
  yang  disediakan  ini  harus  kita  gunakan  sepenuhnya
  sebagai   pemangkin  pertumbuhan  dan   penjana   hasil
  dagangan.  Dalam  hal  ini, lokasi strategik  Pelabuhan
  Johor dan Lapangan Terbang Senai yang berdekatan dengan
  Singapura hendaklah diketengahkan sebagai pelabuhan dan
  lapangan  terbang  hub  pergerakan  kargo  dan  tarikan
  utama,   dengan  izin,  integrated  express   operators
  tempatan  dan  antarabangsa.  Kita  yakin,  ini   dapat
  dijayakan  jika  sistem  pengangkutan  bersepadu   bagi
  menghubung semua rangkaian pengangkutan darat, laut dan
  udara  di  selatan Semenanjung dibangunkan  segera  dan
  diurus dengan lebih cekap dan berkesan.
 

  Strategi Ketiga:   Memastikan Agihan Kekayaan Adalah
                     Saksama
 

  33.        Dalam  kita menikmati kemajuan negara,  kita
  perlu  juga memastikan agihan kekayaan adalah  saksama,
  baik   antara  bandar  dan  luar  bandar,  antara  yang
  berpendapatan  rendah dengan yang berpendapatan  tinggi
  mahupun  antara negeri-negeri yang kurang  maju  dengan
  yang   lebih  maju.  Bagi  meningkatkan  kualiti  hidup
  masyarakat   di   luar  bandar,  Kerajaan   menyediakan
  peruntukan   yang  terbesar  pernah  diberikan,   iaitu
  sebanyak   5.34   bilion   ringgit.   Ini,   antaranya,
  melibatkan  1.58  bilion ringgit untuk  pertanian,  378
  juta  ringgit bagi pembangunan tanah dan wilayah  serta
  392   juta   ringgit  untuk  pembangunan  kampung   dan
  masyarakat.   Peruntukan  ini  juga   bertujuan   untuk
  melaksanakan  projek jalan luar bandar,  jalan  kampung
  serta  menyediakan  bekalan  air  dan  elektrik.   Bagi
  bekalan  air  luar  bandar, sebanyak 185  juta  ringgit
  diperuntukkan dengan tumpuan khas diberi kepada kawasan
  pedalaman,  terutamanya  di Sabah  dan  Sarawak.  Untuk
  bekalan elektrik luar bandar, sejumlah 211 juta ringgit
  disediakan,   manakala  sejumlah   712   juta   ringgit
  disediakan untuk pembinaan jalan luar bandar.

  34.       Kesihatan dan pendidikan di kalangan penduduk
  luar  bandar juga diberi perhatian. Sejumlah  886  juta
  ringgit diperuntukkan bagi meningkatkan taraf kemudahan
  perkhidmatan  kesihatan, termasuk melaksanakan  program
  kesihatan   keluarga  seperti  teleprimary  care   yang
  disediakan  di  klinik bidan, klinik  desa  dan  klinik
  kesihatan di luar bandar.

  35.        Sebagai  langkah  merapatkan  jurang  antara
  bandar  dan luar bandar dari segi pendidikan,  sebanyak
  900  juta  ringgit disediakan bagi melaksanakan  projek
  sekolah rendah dan menengah, sementara 100 juta ringgit
  lagi  disediakan  untuk 6 buah kolej matrikulasi  baru.
  Bagi  mengurangkan jurang digital, sejumlah 205.5  juta
  ringgit   diperuntukkan   bagi   melaksanakan   program
  pengkomputeran  sekolah.  Di  samping   itu,   Kerajaan
  memperuntukkan  sejumlah 180 juta  ringgit  khas  untuk
  meningkatkan  pendidikan di luar bandar  di  Sabah  dan
  Sarawak,  termasuk  menyediakan kemudahan  bekalan  air
  bersih  dan  elektrik di sekolah-sekolah serta  membina
  dan menaik taraf rumah guru.

  36.        Dalam  memupuk budaya masyarakat  penyayang,
  Kerajaan  sentiasa  prihatin  terhadap  kesukaran  yang
  dihadapi    oleh   golongan   rakyat   miskin.    Untuk
  meningkatkan     kesejahteraan     mereka,      Program
  Kesejahteraan  Rakyat  yang  dulunya  dikenali  sebagai
  Program Pembangunan Rakyat Termiskin telah dilaksanakan
  dengan  memberi  keutamaan  kepada  negeri-negeri  yang
  mempunyai  ramai  rakyat miskin  seperti  Kelantan  dan
  Terengganu.   Bagi  tujuan  ini,  sejumlah  204.5  juta
  ringgit  diperuntukkan di bawah Kementerian Pembangunan
  Luar  Bandar.   Di  samping itu,  sebanyak  114.1  juta
  ringgit  disediakan  untuk  program  pembangunan  Orang
  Asli.  Ini,  termasuk  usaha  untuk  mengatasi  masalah
  keciciran  di 412 buah kampung mereka, melalui  Program
  Pembangunan Minda dan mempergiatkan Program  Pendidikan
  Pra-Sekolah melalui aktiviti TASKA dan TADIKA.

  37.       Bagi membolehkan rakyat, terutamanya golongan
  berpendapatan  rendah, memiliki rumah pada  harga  yang
  mampu  dibeli,  sejumlah 943 juta ringgit diperuntukkan
  bagi  menampung pelbagai projek termasuk Perumahan Awam
  Kos  Rendah,  Perumahan  Rakyat  Bersepadu  di  Wilayah
  Persekutuan  Kuala  Lumpur dan  di  bandar  lain.  Bagi
  mengurangkan  masalah  perumahan  yang  dihadapi   oleh
  kakitangan  sektor awam, terutamanya  anggota  Angkatan
  Tentera  dan  Polis,  peruntukan sebanyak  1.08  bilion
  ringgit juga disediakan.

  38.        Kerajaan  juga  terus  melaksanakan  Program
  Kebajikan  Masyarakat.  Sebanyak  193.8  juta   ringgit
  disediakan,  termasuk  bagi kerja-kerja  pembaikan  dan
  naik  taraf  di  52 institusi kebajikan. Bagi  pelajar-
  pelajar   cacat  pendengaran  yang  memasuki  institusi
  pengajian   tinggi  tempatan,  bantuan   dalam   bentuk
  pelajaran percuma disediakan oleh Kerajaan. Mereka juga
  akan  diberi  kemudahan penginapan dan makanan  percuma
  serta  diberikan wang saku sebanyak 300 ringgit sebulan
  mulai 1 Januari 2002.

  39.         Bagi  meningkatkan  kualiti  hidup  wanita,
  terutamanya  di  luar  bandar, Kerajaan  memperuntukkan
  sejumlah  59  juta  ringgit  untuk  membiayai  pelbagai
  program khusus meliputi pembangunan usahawan wanita. Di
  samping  membantu meningkatkan taraf hidup ibu tunggal,
  Kerajaan  juga  membenarkan  balu-balu  terus  menerima
  bayaran  pencen  suami  yang  telah  meninggal   dunia,
  walaupun selepas mereka berkahwin semula.

  40.        Bagi  menerapkan gaya hidup  sihat  Kerajaan
  berusaha   mengurangkan  tabiat  merokok  di   kalangan
  masyarakat.   Sehubungan ini, Kerajaan  menaikkan  duti
  import  bagi  tembakau daripada 180 ringgit  sekilogram
  kepada  216  ringgit sekilogram, manakala  duti  eksais
  dinaikkan  daripada  40 ringgit  sekilogram  kepada  48
  ringgit sekilogram.

  41.        Kerajaan  menghargai  khidmat  dan  komitmen
  anggota   perkhidmatan  awam  dalam   menerajui   usaha
  pembangunan   negara.   Bagi  mengiktiraf   pengorbanan
  kakitangan  awam,  Kerajaan telah  menyediakan  imbuhan
  dan kemudahan  seperti berikut:

  i.  bonus  sebanyak setengah bulan gaji  atau  sekurang-
  kurangnya 1,000 ringgit telahpun dibayar dan para pesara
  juga  diberikan bayaran khas sebanyak 200 ringgit  bagi
  tahun 2001;

  ii. kenaikan gaji kakitangan awam sebanyak  10  peratus
  mulai 2002;

  iii.  elaun Kerja Luar Waktu  untuk  pegawai  perubatan
  awam dinaikkan   antara  25  hingga  50 peratus mulai 1
  Oktober  2001;

  iv.  menaikkan kadar  sagu  hati  tahunan  bagi  anggota
  sukarela  di  dalam pasukan keselamatan,  daripada  400
  ringgit kepada 520 ringgit;

  v.  kadar pemberian pakar untuk pegawai anggota sukarela
  Angkatan Tentera Malaysia dinaikkan 100 peratus daripada
  150 ringgit kepada 300  ringgit  setahun,  manakala bagi
  lain-lain pangkat dinaikkan daripada 100 ringgit dan  75
  ringgit setahun kepada 200 ringgit setahun; dan

  vi. Skim Wang Pinjaman Kenderaan untuk guru-guru ditambah
  lagi  1  bilion ringgit daripada  jumlah asal   250  juta
  ringgit untuk kemudahan membeli kenderaan.

  PENUTUP

  42.        Dalam  lebih seminggu lagi, umat Islam  akan
  meraikan  Aidil Fitri setelah berpuasa selama  sebulan.
  Di  beberapa  negara  Islam,  rakyat  mereka  menderita
  kerana   peperangan,  keganasan  atau   bencana   lain.
  Syukur  Alhamdulillah, negara kita  tetap  aman.   Kita
  dapat   menyempurnakan  ibadah  puasa  tanpa   sebarang
  kesulitan  dan  gangguan. Rakyat Malaysia  terus  hidup
  dalam  suasana  aman dan harmonis. Kesemua  ini  adalah
  hasil    kejayaan   kita   membangunkan   negara    dan
  keprihatinan  Kerajaan  terhadap kesejahteraan  rakyat.
  Kerana  itu,  negara  terus  menikmati  kemakmuran  dan
  kestabilan.   Dalam hubungan ini, Kerajaan  akan  terus
  memantau kegiatan pelampau yang mahu menjadikan  negara
  ini   berada  dalam  kancah  pergolakan.  Jangan   kita
  membiarkan  mereka yang berpandangan sempit  merosakkan
  perpaduan ummah dan menggugat kestabilan dan kemakmuran
  negara.  Kita  tidak mahu menjadikan  Malaysia  sebagai
  Afghanistan kedua.

  43.       Ramai antara kita yang akan meraikan perayaan
  seperti  Krismas,  sambutan Tahun Baru dan  Tahun  Baru
  Cina tidak lama lagi. Kerajaan telah mengambil pelbagai
  langkah   untuk  menambah  pendapatan  rakyat   melalui
  potongan  cukai  individu, bayaran bonus  dan  pelbagai
  elaun insentif.  Oleh yang demikian, berbelanjalah bagi
  memeriahkan  hari-hari  perayaan  nanti,   di   samping
  membantu  menambah  aktiviti  ekonomi  dan  pertumbuhan
  ekonomi  negara. Sama-samalah kita mengindahkan bandar,
  pekan, kampung dan rumah-rumah kita. Buktikanlah kepada
  dunia  bahawa Malaysia adalah sebuah negara  yang  aman
  dan sejahtera.

  44.        Pertumbuhan  ekonomi  negara  yang  perlahan
  berlaku   ketika   kita  mula  melaksanakan   Rancangan
  Malaysia  Kelapan dan Rangka Rancangan  Jangka  Panjang
  Ketiga.   Oleh itu, dalam persekitaran luar yang  tidak
  menentu    dan    semakin    mencabar,    kita    mesti
  melipatgandakan  usaha bagi memastikan  ekonomi  negara
  digerakkan  melalui kecergasan kegiatan  dalam  negeri.
  Dengan  usaha  rakyat  yang  gigih  kita  pasti   dapat
  menjaminkan  ketahanan negara. Semangat dan kesungguhan
  untuk  menguasai  ilmu pengetahuan  serta  meningkatkan
  produktiviti dan daya saing akan dapat membawa kemajuan
  negara   ke  tahap  yang  lebih  cemerlang.  Ini   akan
  membolehkan  negara mencapai pertumbuhan  seperti  yang
  disasarkan dalam kedua-dua rancangan pembangunan negara
  untuk  menjadi  sebuah  negara  maju  sepenuhnya.  Saya
  percaya dengan berkat dan keredhaan Allah Subhanahu  Wa
  Taala,  kita  mampu membentuk Malaysia  sebagai  sebuah
  negara yang progresif, aman dan makmur serta bermaruah,
  bebas dan dihormati oleh masyarakat antarabangsa.

  Malaysia Boleh.  Insya Allah.
 

-------------------------------------------------------------------
Sumber : Pejabat Perdana Menteri