Top 10 : Perisian Percuma


Semua orang sukakan barangan yang percuma dan bagi para pengguna komputer perisian percuma adalah merupakan sesuatu yang dicari-cari dalam Web. Terdapat jutaan perisian percuma dalam Web dan masalah utama yang dihadapi oleh para pengguna ialah untuk memilih dan menguji perisian itu untuk memastikan kesesuaian serta menurut kehendak mereka. Sekarang mari kita lihat 10 laman Web perisian percuma paling popular.

Freeware Files

Laman Freeware ini menyediakan lebih daripada 10,000 perisian percuma untuk dipindah terima. Perisian-perisian yang disediakan dibahagikan kepada Win 95/98/NT, Windows 3.x, Libraries, Drivers dan Screen Savers. Jenis-jenis perisian yang boleh anda pindah terima ialah Internet Tools, Multimedia, Business, Drivers, Games, Website Tools dan Java Games. Selain daripada itu laman Web ini juga menyediakan ruangan-ruangan seperti berita, horoskop dan permainan.

Free Programs
 
Laman Web perisian percuma ini menyediakan lebih kurang 25,000 perisian untuk pilihin anda. Laman ini berbeza dengan laman Freeware kerana ia menyediakan ulasan ringkas dan “rating” kepada setiap perisian yang berada di dalam simpanannya. Ia juga mempunyai arkib perisian yang dibahagikan kepada Games, Internet, Home & Personal, Multimedia, Development Tools, Education dan Business. Laman Web ini juga menyediakan dua sambungan iaitu Freeware Favorites dan Cool Sites yang menyenaraikan laman-laman Web perisian percuma lain.

Moochers Freeware

Laman ini menyediakan senarai perisian terbaru yang dikemas kini setiap hari bagi memudahkan para pengguna. Semua perisian dalam dibahagikan kepada Business, Desktop, Education, Games, Graphics, Internet, Programming dan Utilities. Setiap bahagian dipecahkan kepada subkategori yang lebih terperinci contohnya Internet akan dibahagikan kepada Bookmarks/Favorites Tools, Browsers and Accessories, Browser Plug-Ins, Email, FTP Clients, Internet Phones, Chat, and IRC dan Internet Search Tools. Sebuah laman Web yang mudah dicapai dan tersusun dengan baik.

Dave Central

Laman ini bermula sebagai sebuah laman Web panduan perisian-perisian tambahan untuk Windows 3.x dan Windows 9x. Laman ini mempunyai lebih daripada 5,000 perisian yang telah diuji dan disahkan boleh guna oleh penyelia laman Web ini iaitu Dave. Kali ini laman ini membuat sedikit perubahan dengan memasukkan arkib perisian Linux. Menurut Dave, Linux sekarang semakin popular dan beliau amat meminatinya. Antara perisian-perisian Windows dan Linux yang boleh anda dapati ialah Audio, Database, Connectivity, E-mail, Fax, File Utilities, FTP, Graphics, Java, Multimedia, Newsgroups, System Utilities, VRML, Web Authoring dan Web Surfing. Jika anda seorang pengguna Linux jangan lepaskan peluang ini.

Download

Laman Web ini merupakan salah satu daripada laman Web perisian percuma yang popular kerana ia telah disediakan oleh CNET iaitu salah sebuah penerbit kandungan Web terkenal selain daripada ZDNet dan TechWeb. Laman ini juga menyediakan pelbagai jenis perisian untuk Windows 9x iaitu daripada untuk perniagaan hinggalah kepada Internet, malah ia juga menyediakan perisian untuk PalmPilot, Windows CE dan Linux. Anda juga boleh mendapatkan “rating” dan ulasan ringkas setiap perisian serta maklumat teknikal samada perisian itu boleh digunakan dengan berkesan atau tidak.

File Pile

File Pile mendakwa ia mempunyai koleksi perisian percuma terbesar di dunia iaitu lebih daripada 1.2 juta fail. Anda boleh mencari fail pemacu, aplikasi, permainan dan gambar menerusi laman Web ini. Selain daripada fail anda juga boleh memindah terima imej dan video. Ia juga menyediakan senarai fail terbanyak yang dipindah terima, ulasan CD-ROM dan koleksi istimewa File Pile.

Software Library

Laman Web ini mempunyai 16 bahagian perisian yang dibahagikan menurut jenis dan kegunaan antaranya ialah Browsers, Macintosh, MP3, PalmPilot, Graphics & Multimedia, Home & Education dan Internet. Ia juga mempunyai sebuah bahagian istimewa iaitu ZDNet Exclusives yang memaparkan ulasan perisian dan perisian-perisian khusus seperti ActiveX dan Java. Anda juga boleh mendapatkan Top 10 mingguan perisian paling popular serta anugerah perisian terbaik tahunan yang dianjurkan oleh ZDNet.
File Mine

Laman Web membawa tema “dig into my collection” (galilah koleksi saya) bagi mengambarkan betapa banyaknya fail dalam laman Web ini. Kandungan koleksi fail dalam laman Web ini adalah menyerupai laman Web yang lain namun begitu ia menyediakan ulasan perisian yang terperinci berserta cara menggunakan perisian itu. Laman ini juga menyediakan sebuah senarai sepuluh perisian terpopular yang dipindah terima daripada laman Web ini, antara yang perisian yang terdapat dalam senarai itu adalah FaxWizard 4.1, Download Accelerator 3.5, Multimedia Browser 4.0 dan Paint Shop Pro 5.01.

Jumbo

Laman Web Jumbo ini merupakan salah satu laman Web pindah terima perisian yang pertama selain Download dan Software Library. Pada mula-mulanya Jumbo adalah sebuah perpustakaan perisian percuma terbesar berbanding kedua-dua laman Web tadi tetapi kini ia sudah kurang diminati. Antara segmen yang terdapat dalam laman Web ini adalah MP3, Must-Haves, PDA/Pilot, Radio, Utilities dan Windows CE.

Versions

Versions merupakan salah satu laman Web perisian percuma terbaru di dalam Internet. Motto laman Web ini adalah “Get Your New Versions of Software Here” (dapatkan versi terbaru perisian anda di sini) dan ia menyediakan pelbagai jenis perisian yang dibahagikan menurut jenis sistem pengoperasian seperti Windows, Mac OS, Linux+Unix, Be OS, Palm dan Windows CE.
 

Kembali Ke Menu Tips Komputer


2000
© Allright Reserved by
Mohd Hafiz Yahaya