FIFA 2002

FIFA 2002 telah diperkatakan oleh ramai pengulas permainan sebagai permainan yang bakal mengegarkan dunia perisian permainan. Semuanya kerana perisian FIFA 2002 telah diubahsuai dari segi falsafahnya dan juga dari segi rekabentuknya.

Simulasi permainan bolasepak merupakan salah satu cabaran yang tinggi dalam penghasilan perisian permainan. Sejak Road to World Cup 98, siri FIFA telah berjaya mendewasakan dirinya kepada sebuah permainan yang matang daripada sebuah permainan arked biasa. Kini pemain lebih pantas dan bijak serta berkeupayaan menendang bola kepada rakan dengan tepat dan cepat.

FIFA 2002 tidak mengalami perubahan yang mendadak tetapi perubahan ini memberikan kesan yang mendalam kepada perisian. Rentak permainan sudah berubah walaupun kelajuan pemain secara keseluruhan sudah diperlahankan. Bola digerakkan dengan semakin bijak dan lebih tepat berbanding dengan menyepak dan mengejarnya.

Perubahan kepada sepakan bola ke rakan lain telah dilakukan dengan memasukkan elemen rawak. Keupayaan untuk melengkapkan pass kepada rakan bergantung kepada kawalan bola oleh anda. Sebarang tekanan yang dilakukan oleh pihak lawan akan menyebabkan pass tersebut akan meliar. Kawalan bola seperti menghentikan bola dan mengelecek juga semakin baik dalam FIFA 2002.

Sistem baru ini berfungsi dengan baik dalam permainan ini. Walaupun ia agak sukar untuk dikuasai tetapi ia berbaloi untuk digunakan dalam keadaan serangan yang mendadak dan memberikan elemen kejutan kepada lawan. Fungsi tambahan ini memberikan lebih realisme kepada lapisan strategik perisian permainan. Ia juga memberikan anda satu motivasi untuk merekacipta pergerakan yang baru.

Perisian FIFA 2002 telah melakukan yang terbaik bagi meningkatkan realisme permainan. Dengan peningkatan realisme, menjaringkan gol juga semakin susah kerana pihak lawan juga semakin bijak. Malah tahap permainan juga agak tinggi hinggakan tahap Amatur juga agak susah hendak dikuasai. Namun begitu pada saya ia merupakan sebuah perkembangan yang baik dan menarik dalam pembangunan perisian.

Persembahan secara keseluruhan adalah serupa dengan FIFA 2001. Andy Gray dan John Motson masih sebagai pengulas dan penyampai dan muzik latar adalah irama rentak Euro yang pantas. Visual grafik dalam FIFA 2002 juga telah diperkemaskan dan ia kelihatan lebih terperinci. Pemain juga dimodelkan dengan lebih teliti dan poligon ditingkatkan. Kesan cahaya juga boleh dilihat dengan teliti di padang dan cahaya stadium juga menyinari wajah dan kepala para pemain terutamanya pemain yang berkepala botak.

FIFA 2002 menyediakan mod permainan seperti persahabatan, musim, kejohanan dan dalam talian. Terdapat mod kelayakan Piala Dunia di mana anda boleh memilih pasukan kebangsaan anda dan cuba mendapat tempat di Korea Selatan pada tahun 2002. Terdapat juga beberapa siri pengurusan yang digabungkan ke dalam mod kejohanan. Dalam mod ini terdapat 75 pasukan kebangsaan untuk dipilih dan anda boleh membentuk pasukan kebangsaan anda sendiri dengan memilih para pemain yang sedang bermain peringkat kelab yang terdiri daripada 16 buah liga.

Pro : Grafik yang menarik. Kelancaran pemain lebih baik.
Kontra : Perisian agak besar.
Spesifikasi : Pentium III 667MHz, 128MB RAM dan 200MB ruang cakera keras.
Laman web : http://www.ea.com



2001
© Allright Reserved by
Mohd Hafiz Yahaya