Al-Hasan Al-Basri Rahimahullah

Kelahiran dan riwayat hidup beliau:
- Nama penuh beliau ialah Al-Hasan bin Yasar. Beliau adalah merupakan maula (hamba lelaki yang telah dimerdekakan) milik seorang sahabat yang bernama Zaid bin Thabit r.a manakala ibu beliau yang bernama Khairat pula merupakan maulat (hamba perempuan yang telah dimerdekakan) milik Ummu Salamah isteri Nabi s.a.w.
- Al-Hasan dilahirkan di Madinah sekitar tahun 30 Hijrah dan dibesarkan di rumah isteri-isteri Nabi s.a.w terutamanya di rumah Ummu Salamah r.a. Beliau dididik di rumah Ummu Salamah r.a yang merupakan salah seorang wanita Arab yang memiliki kesempurnaan akal pemikiran, seorang yang mempunyai kelebihan dan kebijaksanaan, isteri Rasulullah s.a.w yang memiliki ilmu yang sangat luas, isteri Nabi yang paling banyak meriwayatkan hadis daripada baginda serta termasuk di kalangan kumpulan kecil wanita yang pandai menulis pada zaman jahiliah.
- Al-Hasan juga mendapat penghormatan kerana berpeluang menyusu dengan Ummul Mukminin Ummu Salamah r.a di mana peristiwa berlaku ketika ibu beliau keluar untuk menunaikan beberapa hajat. Pada masa tersebut beliau masih kecil dan dalam tempoh menyusu, ketika beliau menangis kelaparan Ummu Salamah r.a mengambil beliau masuk ke biliknya kemudian Ummu Salamah r.a membiarkan Al-Hasan menghisap buah dadanya walaupun tidak mempunyai susu supaya Al-Hasan tidak menangis dan juga sebagai pengganti kepada Al-Hasan semasa ibunya tiada. Oleh kerana Ummu Salamah terlalu sayang kepada Al-Hasan, tiba-tiba ditakdirkan Allah buah dadanya mengeluarkan susu menyebabkan dia dapat menyusukan Al-Hasan dengan baik dan berhenti menangis.
- Pada masa kecil Al-Hasan sentiasa hidup berpindah randah di antara rumah-rumah Ummul Mukminin malah kehidupan sedemikian menyebabkan Al-Hasan terdidik di dalam suasana yang murni dengan akhlak yang baik, agama, adab dan ilmu.
 

Kehidupan beliau menuntut ilmu:
- Al-Hasan belajar melalui sahabat-sahabat yang terkemuka di masjid Rasulullah s.a.w seperti Othman bin Affan, Abdullah bin Abbas, Ali bin Abu Talib, Abu Musa Al-Asy'ariy, Anas bin Malik, Jabir bin Abdullah dan Abdullah bin Umar.
- Setelah itu Al-Hasan berpindah ke Basrah bersama-sama dua orang ibu bapa beliau ketika beliau menjangkau umur 14 tahun seterusnya beliau menetap di sana bersama-sama dengan keluarganya. Pada masa tersebut Basrah merupakan salah satu kubu ilmu yang terbesar di mana masjidnya sering dikunjungi oleh para sahabat yang terkemuka terutamanya Abdullah bin Abbas sahabat yang sering didekati oleh Al-Hasan untuk mempelajari ilmu Tafsir, Hadis dan Qiraat.
- Selain dari belajar daripada Abdullah bin Abbas, Al-Hasan juga mempelajari ilmu Fekah, Bahasa dan Adab daripada para sahabat sehingga beliau muncul sebagai orang yang paling alim pada zaman beliau.
- Akhirnya ramai orang mengikuti pengajian beliau, kehebatan beliau mula tersebar dan kemasyhuran beliau juga semakin meningkat menyebabkan beliau sangat disayangi oleh orang ramai.
 

Pujian ulama terhadap beliau:
- Salah seorang yang rapat dengan Al-Hasan iaitu Khalid bin Safuan menyifatkan beliau dengan berkata: "Beliau adalah seorang yang memiliki sifat batiniah yang sama dengan sifat lahiriah, kata-kata beliau sama dengan perbuatan beliau, apabila beliau memerintahkan supaya melakukan kebaikan, beliaulah orang yang paling banyak melakukannya, apabila beliau melarang dari melakukan kemungkaran, beliaulah orang yang paling banyak meninggalkannya malah aku berpendapat beliau adalah seorang yang tidak memerlukan kepada bantuan orang lain kerana beliau adalah seorang yang zuhud kepada apa yang ada bersama orang lain sebaliknya aku melihat orang lain yang memerlukan bantuan beliau kerana mereka sentiasa meminta apa yang ada bersama beliau."
- Maslamah bin Abdul Malik berkata tentang beliau: "Bagaimana sesuatu kaum boleh tersesat sedangkan di kalangan mereka terdapat seseorang seperti Al-Hasan Al-Basri?!."
 
 

Nasihat beliau kepada pemerintah:
- Al-Hasan A-Basri tidak pernah lupa untuk memberikan nasihat kepada pemerintah mengenai sesuatu perkara yang beliau anggap sebagai kebenaran walaupun nasihat yang diberikan itu agak pedih bagi mereka. Pernah berlaku suatu ketika di mana beliau diminta pendapat oleh Umar bin Hubairah mengenai sesuatu perkara yang diperintahkan oleh Khalifah Yazid bin Abdul Malik sedangkan Umar bin Hubairah sendiri tidak berpuas hati mengenai perkara tersebut, lalu beliau menjawab: "Wahai Ibnu Hubairah! Takutlah kepada Allah di dalam melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Yazid dan janganlah kamu takut kepada Yazid di dalam melaksanakan perintah Allah. Ketahuilah bahawa Allah s.w.t berkuasa untuk melindungi kamu dari kemarahan Yazid sedangkan Yazid tidak berkuasa untuk melindungi kamu dari kemurkaan Allah. Wahai Ibnu Hubairah! Sedikit masa lagi malaikat yang sangat bengis dan tidak pernah melanggar perintah Allah akan datang kepada kamu. Ia akan memindahkan kamu dari katil kamu ini. Ia akan memindahkan kamu dari Istana kamu yang sangat luas ke kubur kamu yang sangat sempit, di sana kamu tidak akan bertemu dengan Yazid sebaliknya kamu akan bertemu dengan amalan perbuatan kamu yang melanggar perintah Tuhan Yazid. Wahai Ibnu Hubairah! Sekiranya kamu tetap bersama dengan Allah dan sentiasa berada di dalam keadaan melakukan ketaatan kepada-Nya, kamu akan terselamat dari malapetaka Yazid bin Abdul Malik di dunia dan di akhirat kelak, tetapi sekiranya kamu sentiasa bersama dengan Yazid di dalam melakukan maksiat kepada Allah s.w.t, Allah akan menyerahkan kamu kepada Yazid. Ketahuilah wahai Ibnu Hubairah, sesungguhnya kita tidak boleh mentaati kepada perintah seseorang makhluk di dalam perkara yang melanggar perintah Allah." Mendengar kata-kata tersebut Ibnu Hubairah terus menangis sehingga tangisannya itu membasahi janggutnya.
 

Di antara pengajaran beliau:
- Pengajaran baik yang diberikan oleh Al-Hasan yang boleh menggegarkan hati, boleh menarik perhatian orang-orang yang lalai dan mengalirkan air mata orang-orang yang mendengar. Di antara pengajaran beliau ialah: "Sesungguhnya perumpamaan di antara dunia dan akhirat adalah seperti timur dan barat. Apabila kamu semakin hampir kepada salah satunya bererti kamu semakin jauh dari akhirat. Dunia merupakan suatu tempat di mana pada peringkat awalnya adalah kepenatan dan penghujungnya adalah kebinasaan. Perkara halalnya mengandungi perhitungan manakala perkara haramnya pula mengandungi pembalasan seksa. Sesiapa yang merasakan dirinya telah mencukupi dengan apa yang ada di dalamnya bererti dia telah tertipu dan sesiapa yang merasakan dirinya sangat memerlukan kepada apa yang ada di dalamnya dia akan bersedih."
 

Kematian beliau:
Al-Hasan rahimahullah telah meninggal dunia pada tahun 110 Hijrah dan kesemua penduduk Basrah keluar mengiringi jenazah beliau pada hari Jumaat awal bulan Rejab. Semoga Allah merahmati beliau dengan rahmat yang sangat luas.

Kembali Ke Menu Tokoh Islam

1999/2000
© Allright Reserved by
Mohd Hafiz Yahaya