Paparan VGA

Saya cuba memasukkan sebuah `game' ke dalam cakera keras (harddisk).
Proses ini di dalam Windows 95 seperti yang diarahkan oleh manual yang diberi.
Semua proses berjalan lancar. Tetapi apabila saya cuba memainkan
permainan tersebut ia memberikan mesej ``Please, display mode 16 bit.'' Apa yang
tidak kena? Saya cuba masuk ke `Control Panel', kemudian `Display' dan cuba
menukar kepada `16 bit mode setting'. Tetapi yang ada hanya pilihan `16
colours' dan `256 colours' sahaja. Adakah ini bersangkutan dengan kad
paparan (display card) saya?

Jika `Display' anda tidak menyokong mod paparan 16-bit, ada dua
kemungkinan.Pertamanya mungkin kad paparan anda tidak menyokong mod tersebut kerana
memori padanya yang sedikit. Kad paparan yang menyokong warna 16-bit
biasanya mempunyai 1MB memori, sedangkan kebanyakan kad paparan yang
lama hanya mempunyai 512kb memori dan menyokong sehingga 256 warna sahaja.
Maklumat tentang berapa memori pada kad paparan biasanya dinyatakan
pada skrin monitor sebaik sahaja komputer dihidupkan.
Keduanya, mungkin kad paparan anda tidak dikonfigurasikan dengan betul.
Jika anda pasti bahawa kad paparan anda boleh menyokong mod 16 bit, cuba
periksa samada kad yang betul telah dinyatakan dalam konfigurasi Windows. Klik
arahan Control Panel - Display - Change Display Type. Pastikan jenis
kad anda yang sebenarnya dinyatakan di bahagian `Adapter type'. Jika tidak
betul, tukarnya dengan klik pada arahan `Change'. Anda mungkin
memerlukan disket `driver' kad paparan anda untuk proses konfigurasi ini.
 

`Color palette' sistem komputer saya hanya mempunyai `16 color' dan
`monochrome'. Bagaimana caranya untuk memasang (install) `256 color'
bagi membolehkan saya menggunakan Vidistation dan bermain CD-ROM games
kerana sesetengah games tidak boleh berfungsi tanpa 256 color?

Salah satu device saya iaitu Standard Display Adapter (VGA) mempunyai
masalah. Sekiranya saya ingin memansuhkan fungsinya (disable) atau
memindahkannya (remove) adakah ini akan menjejaskan fungsi komputer
tersebut? Bagaimana komputer saya akan beroperasi tanpa VGA?

Sistem komputer yang tidak dapat menggunakan 256 color berkemungkinan
besar adalah disebabkan oleh masalah pada peranti (device) paparan. Jika
komputer anda adalah yang berjenama, peranti untuk `Display adapter' komputer
itu sepatutnya bukan ``Standard Display Adapter (VGA)''. Sekiranya anda
memansuhkan fungsi atau memindahkannya, masalah tidak akan selesai.
Apa yang harus anda lakukan ialah mengesan semula peranti sebenar
dengan memilih menu Start - Settings - Control Panel dan kemudian klik
berganda (double-click) pada ikon `Add New Hardware'. Tekan butang Next tiga
kali, dan selepas beberapa minit, komputer akan memaparkan apa-apa peranti
yang ada pada komputer anda. Sekiranya langkah ini gagal menyelesaikan
masalah anda, tuntutlah jaminan (guarantee) daripada penjual komputer kerana
kad  ataupun peranti paparan komputer itu mungkin rosak.


Soal Jawab Komputer - Virus

Adakah sejenis virus yang menyerang melalui elektrik? Dan adakah
pengimbas
virus boleh mengesannya?

Bertenang saudara, sepanjang pengetahuan dan pengalaman saya
menggunakan komputer, tidak pernah saya mendengar wujudnya virus yang mengalir
bersama arus elektrik. Jangan terlalu percayakan cerita-cerita kartun di
televisyen yang sering mengelirukan penonton dengan ilusi pengarangnya. Virus
sebenarnya adalah satu aturcara komputer yang tersembunyi dan
`berjangkit' melalui perlaksanaan aturcara atau arahan sistem tertentu, contohnya
arahan untuk membaca, menyalin atau mengimbas fail.
Secara praktikalnya virus tidak dapat merebak melalui elektrik kerana
talian elektrik tidak mengalirkan data. Sebaliknya, virus merebak melalui
penggunaan disket yang tidak terkawal seperti berkongsi disket dengan
kawan, menggunakan disket di pusat/makmal komputer yang tidak dilindungi
perisian anti virus dan menggunakan perisian cetak rompak. Ia juga boleh merebak
melalui pemindahan terima (download) fail daripada Internet tanpa
pengawasan anti virus.

Setiap kali selepas menyimpan (save) dokumen dalam MS-Word 95, mesej
`Have a nice day!' akan dipaparkan. Apakah ini sejenis virus dan bagaimana
untuk mengatasinya?

Ya, mesej tersebut adalah dari virus jenis Word Macro/Nice Day yang
banyak menyerang dokumen-dokumen yang ditulis menggunakan Word. Untuk
mengatasinya, anda harus mendapatkan perisian antivirus seperti Dr. Solomon,
Pc-Cillin, Armour dan sebagainya.

Bolehkah `Bad Sector' diperbaiki dengan mana-mana anti virus?

Ia tidak boleh diperbaiki dengan perisian antivirus, namun jika anda
merasakan ianya akibat virus, anda boleh cuba mengesannya dengan
perisian-perisian antivirus.


Soal Jawab Komputer - Windows

Kenapa bila saya menukarkan gambar di Desktop Themes, komputer akan
memberikan maklumat `This program has performed an illegal operation
and will be shut down'. Bolehkah saya memperbaiki sendiri? Bagaimana
perkara ini terjadi? Adakah komputer saya dijangkiti virus?

Amaran `illegal operation' itu mungkin terhasil akibat kerosakan pada
fail-fail yang berkaitan dengan aplikasi Desktop Themes. Untuk
membaikinya, mula-mula lakukan pemeriksaan ke atas fail dan strukturnya dalam cakera
keras (harddisk) menggunakan `Scandisk' atau `Norton Disk Doctor'. Jika
langkah tersebut gagal untuk memperbetulkan keadaan, anda perlulah
memasang (install) kembali aplikasi tersebut yang merupakan sebahagian daripada
pakej `Microsoft Plus'. Agak sukar untuk mencari punca kerosakan tersebut
tetapi salah satu kemungkinannya ialah akibat punca kuasa elektrik komputer
yang kurang stabil, atau pemasangannya (installation) yang kurang sempurna.
Saya juga berpendapat ia bukanlah akibat virus.

Windows 95 saya tidak mempunyai ciri-ciri Autoplay untuk CD audio dan
perisian lain, jadi apakah masalah saya sekarang untuk mengadakan
kembali ciri Autoplay ini?

CD-ROM anda tidak melaksanakan `autoplay' mungkin kerana `setting'nya
secara tidak sengaja telah diubah. Untuk memeriksanya, anda boleh klik
berganda pada My Computer, ambil menu Tools - Options - File Types. Klik pada
AudioCD kemudian klik Edit - Play - Set Default. Selesaikannya dengan klik OK.
Pastikan juga peranti (device) CD-ROM dipaparkan dalam Settings
-Control Panel -System -Device Manager.

Saya mempunyai komputer dengan sistem lama iaitu sistem 386SX 33MHz,
dengan paparan monitor monochrome. Adakah boleh jika saya mahu menggunakan
Windows 95 di dalam komputer saya tanpa menukarkan paparan monitor saya kepada
monitor warna?

Sistem pengoperasian Windows 95 boleh digunakan pada paparan monitor
monochrome tetapi oleh kerana anda menggunakan sistem 386SX, anda masih
tidak dapat menggunakannya kerana keperluan minimum Windows 95 adalah
sistem
386DX ataupun 486DX.
 

Apakah itu multimedia?

Multimedia bermaksud banyak media, iaitu input dan output daripada
komputer dapat dipersembahkan dalam banyak cara. Sebagai contoh, selain daripada
monitor sebagai media paparan, bunyi audio dapat didengar menerusi
pembesar suara. Manakala selain dari disket dan cakera keras sebagai media
input, anda boleh menggunakan media seperti CD-ROM dan sebagainya.

Apakah yang perlu saya lakukan supaya mikrofon komputer dapat
berfungsi? Adakah ia juga memerlukan kad seperti sound blaster atau hanya perlu
'configure' dengan menggunakan ikon sahaja ?

Mikrofon tidak memerlukan kad yang berasingan. Semua kad bunyi (sound
blaster, ESS, Crystal dan lain-lain) mempunyai soket untuk disambungkan
mikrofon kepadanya sepertimana pembesar suara (speaker) disambungkan.
Tempat sambungan ini biasanya terdapat di belakang komputer berhampiran dengan
tempat sambungan pembesar suara. Pastikan juga anda `menghidupkan'nya
terlebih dahulu pada `volume settings' dan pastikan ia tidak dibisukan
(mute). Ianya tidak melibatkan sebarang konfigurasi yang rumit, hanya
tentukan kekuatan bunyi (volume) yang hendak digunakan. Anda boleh cuba
bercakap dan rakamkan percakapan anda menggunakan program Sound
Recorder,Wave Studio, Voyetra, Midi Station atau sebagainya.

Saya mempunyai komputer lama iaitu sistem 386SX 33MHz, dengan paparan
monitor monochrome.  Adakah boleh saya tingkat upayakan komputer saya
dengan ciri-ciri multimedia, yang membolehkan saya gunakan untuk memainkan
cakera video setelah saya menukarkan monitor saya kepada monitor warna?

Boleh sekiranya kad paparan (display card) anda menyokong penggunaan
256 warna.

Saya mempunyai komputer peribadi sendiri di rumah. Komputer saya
menggunakan Windows 95 dan mempunyai CD-ROM dengan kelajuan 8x. Bagaimana untuk mengaktifkan program Media Player untuk CD Movie dan animasi.

Jika anda hendak mengaktifkan Media Player untuk CD Movie, animasi dan
lain-lain fail multimedia, anda perlu mendapatkan fail-fail `driver'
untuk aplikasi yang berkenaan. Sebagai contohnya, untuk memainkan fail .mpg,
anda boleh mendapatkan `XingMPEG Driver' dan memasangnya pada komputer
anda.Sesetengah `driver' ini boleh dicari di Internet. Sebuah sistem
komputer dengan kebolehan asas multimedia biasanya akan dapat memainkan
fail-fail .mid, .rmi, .wav dan .cda.

Setahu saya komputer multimedia boleh dipasang CD movie, tetapi
komputer saya tidak boleh. Mengapa?

Komputer multimedia biasanya dimaksudkan kepada komputer yang
dilengkapi dengan pemacu CD-ROM, kad bunyi (yang dipasang dalam komputer) dan
pembesar suara. Ia tidak semestinya boleh menggunakan CD video kerana CD jenis
itu memerlukan kad MPEG ataupun kad paparan tertentu yang menyokong
perisian MPEG.


Soal Jawab Komputer - Internet Dan Web

Bolehkah dua buah komputer menggunakan hanya satu akaun JARING dan
bolehkan berlaku pertukaran e-mail antara kedua-duanya?

Dua buah komputer boleh mempunyai satu akaun JARING yang sama, tetapi
ia tetap menggunakan alamat e-mail yang sama. Oleh itu adalah tidak
praktikal untuk anda menghantar e-mel di antara dua komputer kerana ia
menggunakan akaun yang sama. Komputer pelayan mel (mail server) JARING tidak dapat membezakan antara dua komputer itu dan ianya seperti menghantar e-mail
kepada diri sendiri. Namun, anda masih boleh menggunakan akaun JARING
untuk masuk ke Internet dan selepas itu gunakan perkhidmatan e-mail
berasaskan Web (Web-based e-mail) yang ditawarkan secara percuma seperti Hotmail,
Rocketmail, Netaddress dan sebagainya. Dengan itu masalah menghantar
e-mail akan selesai!

Bolehkah sebuah sistem komputer jenis Acer dengan 486 SX2-50, 12MB RAM
dan pemacu CD-ROM `double speed' dapat menggunakan Internet?  Jika sistem
komputer tersebut tidak dapat digunakan, bolehkah saudara berikan
sedikit tips untuk mempertingkatkan (upgrade) kehendak sistem komputer tersebut
yang paling minima untuk menggunakan Internet?

Untuk pengetahuan anda, sistem yang dinyatakan itu sudah memadai dan
mampu untuk menggunakan Internet dengan syarat ia dilengkapkan dengan satu
lagi alat iaitu modem. Bagaimanapun jika mampu, dapatkanlah komputer Pentium
dengan 16MB RAM serta modem dengan kelajuan minima 28.8kbps. Sebagai
permulaan, saya syorkan anda menggunakan apa yang ada terlebih dahulu
untuk melayari Internet. Dapatkan modem yang baik, kerana teknologinya agak
lambat berkembang berbanding kelajuan komputer yang cepat meningkat. Apabila
tiba waktunya anda terasa jemu dengan kadar pemprosesan komputer yang agak
lembap, maka tukarlah dengan yang baru.

Saya dapat menerima e-mel dari kawan saya, tetapi jika saya mengirimkan
e-mel kepadanya, dia tidak dapat menerima e-mel itu. Mengapa?

Kemungkinan pertama ialah komputer pelayan (server) mel pembekal
perkhidmatan Internet sedang rosak (down), cuba hantar di lain masa.
Jika itu tidak menyelesaikan masalah, cuba anda periksa konfigurasi komputer
pelayan mel anda (atau kawan anda) pada bahagian `server' di dalam
perisian mel (jika Netscape - pergi kepada menu Options-Mail and News
Preferrences-Servers dan jika guna Explorer - pergi kepada menu
Mail-Options-Servers). Perhatikan nama-nama pelayan yang dinyatakan pada `outgoing mail (SMTP)' dan `incoming mail (POP3)'. Pastikan kedua-duanya adalah betul seperti yang dikehendaki, contohnya TMnet menggunakan mail.tm.net.my untuk kedua-dua
pelayan manakala Jaring biasanya menggunakan pop3.jaring.my.
Kemungkinan ketiga adalah anda tersalah taip alamat e-mel kawan anda, setiap aksara
dalam alamat akan menentukan ke mana perginya mel tersebut. Jika anda
tersalah taip alamat destinasi, biasanya e-mel tersebut akan
dipulangkan kembali kepada anda secara automatik. Jika ia tidak dikembalikan, dan
kawan anda juga tidak menerimanya, kemungkinan besar masalah adalah di
sebelah pihak kawan anda.

Bagaimanakah cara untuk memindah terima (download) sekiranya ingin
melihat video dari laman Web yang ada menyediakan video-video menarik. Adakah
diperlukan perisian tambahan seperti Apple Quicktime yang boleh
diperolehi daripada Internet juga?

Ya, anda perlukan perisian tambahan (plug-in) yang bersesuaian. Rujuk
laman Web terbabit untuk mengetahui perisian apa yang diperlukan untuk
menonton video yang disediakannya. Seterusnya, pindah terima perisian tersebut
dan kemudian pasangkannya (install) ke dalam komputer anda sebelum anda
boleh mula menonton video. Terdapat beberapa perisian tambahan yang
diperlukan untuk memainkan fail-fail video dengan format yang berlainan.

Bagaimana untuk membuat laman Web (homepage) sendiri dengan menggunakan
perisian sedia ada?

Sebenarnya laman Web boleh dibuat menggunakan sebarang program
penyunting
teks (text editor) di dalam Windows seperti Notepad, Write, Wordpad
atau Microsoft Word. Apa yang harus anda lakukan ialah mempelajari kod-kod
ataupun tag-tag HTML (yang mudah) dan menyimpannya dengan sambungan
(extension) .html atau .htm. Gunakan perisian perayau (browser) seperti
Netscape atau Internet Explorer untuk melihat hasilnya. Anda boleh mempelajari HTML dengan memerhati kod yang digunakan untuk laman-laman Web yang anda kunjungi. Untuk melihat kod tersebut,
daripada perisian perayau, ambil menu View - Source.

Apakah perbezaan antara Internet, intranet, ekstranet, Ethernet dan
Networks?

Internet merupakan satu rangkaian besar dan umum yang menghubungkan
banyak rangkaian-rangkaian komputer di seluruh dunia, ianya bersifat awam dan
boleh dicapai oleh sesiapa sahaja. Intranet pula adalah satu rangkaian
komputer yang tertutup dan boleh dicapai oleh orang atau pihak yang tertentu
sahaja, contohnya rangkaian komputer sebuah universiti yang menghubungkan semua
jabatannya di seluruh kampus. Manakala ekstranet adalah jalinan antara
beberapa intranet, contohnya jalinan antara rangkaian komputer yang
terdapat disebuah universiti dengan universiti-universiti yang lain. Ketiga-tiga
Internet, intranet dan ekstranet menggunakan satu teknologi sama yang
pada umumnya dikenali sebagai teknologi Internet ataupun protokol Internet.
Ethernet pula merupakan satu bentuk rangkaian kawasan setempat (local
area network atau LAN) yang menghubungkan satu kumpulan komputer contohnya
di sebuah pejabat. Networks atau rangkaian pula adalah satu istilah umum
yang merujuk kepada dua atau lebih komputer yang dihubungkan antara satu
sama lain.

Jika ingin memasang Internet. Apakah jenis modem yang perlu saya
gunakan buat pertama kali?

Untuk menggunakan Internet, anda boleh menggunakan sebarang jenis modem
samada modem dalaman (internal) atau luaran (external). Kami syorkan
anda dapatkan modem dengan kelajuan 33.6kbps atau lebih, kerana ianya lebih
laju memindahkan data. Jangan berkira sangat tentang harga, kerana modem
yang murah kadang-kadang tidak memberikan prestasi yang memuaskan.

Apakah perbezaan antara TMnet dan Jaring?

TMnet dan Jaring merupakan dua perkhidmatan Internet yang utama di
negara ini. TMnet dikendalikan oleh Telekom Malaysia Berhad manakala Jaring
dikendalikan oleh MIMOS Berhad.

Bagaimana hendak mendapatkan maklumat terkini melalui Internet?

Untuk mendapatkan maklumat terkini daripada Internet, terdapat beberapa
saluran dan kaedah. Jika anda inginkan berita-berita semasa, anda boleh
mendapatkannya daripada akhbar-akhbar dalam talian seperti Utusan
Online di alamat http://www.utusan.com.my . Sekiranya maklumat yang diinginkan
lebih berbentuk khusus mengenai sesuatu perkara, anda boleh mencuba
menggunakan enjin pencari (search engine) yang terdapat di Internet seperti
http://altavista.skali.com.my atau http://www.cari.com.my

Apakah perlu seseorang itu yang memiliki PC, menggunakan Internet?

Seseorang pemilik PC tidak semestinya menggunakan Internet. Tetapi
Internet dikatakan sebagai sumber kepada pelbagai maklumat, dan jika seseorang
pengguna tahu menilai dan amat mementingkan maklumat, maka Internet
adalah untuknya. Ia seumpama memiliki sebuah kereta, anda tidak perlu
menggunakannya jika anda tidak berminat untuk pergi ke majlis-majlis
ceramah ataupun bersiar-siar makan angin, gunakan ia hanya untuk urusan kerja.

Antara modem dalaman dan modem luaran, yang mana lebih digalakkan untuk
digunakan?

Modem dalaman memerlukan anda membuka penutup (casing) komputer jika
ingin memasangnya manakala untuk modem luaran anda hanya perlu menyambungkan
ke penghubung `com port' dibelakang komputer. Jika anda pasang modem
luaran, anda perlu menghidupkan suisnya setiap kali ingin diguna tetapi jika
modeldalaman, anda tidak perlu buat apa-apa lagi. Modem luaran juga senang
dipindah-pindahkan antara komputer yang berlainan. Namun kebanyakan
pengguna-pengguna lama dan lebih senior lebih gemar menggunakan modem
luaran, lagipun ia mempunyai paparan LED yang memberitahu pengguna
tentang status, operasi baca-tulis dan lain-lain. Jadi, tepuk dada tanya selera
sendiri.

Saya baru memiliki komputer yang lengkap dengan modem 33.6Kbps
(internal), perisian Internet dan e-mail. Saya ingin menggunakan kemudahan Internet
dan e-mail, oleh itu siapakah yang saya perlu hubungi samada TMNet atau
Jaring (MIMOS)?

Jika anda ingin mendapatkan perkhidmatan Internet, anda boleh
menghubungi samada TMNet ataupun MIMOS. Kedua-duanya merupakan penyedia
perkhidmatan Internet rasmi di Malaysia.. Untuk berlanggan dengan TMNet anda hanya
perlu mengunjungi mana-mana Kedai Telekom atau menghubungi talian 03-7031515,
dan sekiranya anda ingin berlanggan dengan MIMOS, anda boleh menghubungi
MIMOS sendiri di talian 03-9662916 ataupun pihak-pihak yang dilantik sebagai
pembekal perkhidmatan akses Jaring (JASP) seperti Utusan Jaring dan
Silicon Communications. Selain itu terdapat juga beberapa syarikat swasta yang
menyediakan perkhidmatan Internet yang lebih eksklusif dan mahal
sedikit seperti Putra.Net, Nasionet, MOLnet, IBM Global Connection (VADS) dan
AsiaConnect.

Bagaimana cara untuk mendapatkan kemudahan Internet di rumah, bagaimana
proses pembayarannya dan bil yang dikenakan ?

Perkhidmatan Internet boleh digunakan samada di rumah atau pejabat.
Kedua-duanya sama sahaja - memerlukan komputer, modem dan talian
telefon biasa. Jika anda menggunakan TMNet, bayaran akan dicajkan menerusi bil
telefon dengan kadar 2.5 sen seminit manakala untuk lain-lain
perkhidmatan,anda dikehendaki membayar yuran langganan mengikut kadar yang tertentu.

Saya suka membuat pelayaran melalui internet tapi amat-amat membosankan
kerana menunggu terlalu lama untuk mendapatkan sesuatu maklumat..
Tidakkah ada cara lain yang paling mudah dan cepat.

Salah satu `netiquette' ataupun Etika Net yang perlu diamalkan oleh
para pelayar Internet ialah bersabar. Lebuhraya maklumat tidak terlepas
daripada masalah kesesakan lalulintas terutamanya pada waktu-waktu kerja yang
sibuk. Bagaimanapun jika anda ingin keselesaan semasa melayari Internet,
terdapatbeberapa tip;

Guna Internet sewaktu tidak sibuk seperti sebelah petang atau awal
pagi. Elakkan waktu makan tengahari.
Pastikan komputer anda menggunakan modem yang baik dan berkelajuan
sekurang-kurangnya 33.6kbps. Sesetengah modem, walaupun laju tetapi
mempunyai kadar pemampatan data yang lemah dan seringkali menyebabkan
talian terputus. Oleh itu pilihlah modem dengan bijak. Sekiranya anda menggunakan talian dail terus (dial-up), cuba putuskan hubungan (disconnect) dan
sambung (connect) semula selepas beberapa minit. Jika anda ingin
memindahkan fail dari komputer pelayan (server) luar
negeridan ia menyediakan pelayan protokol pemindahan fail (FTP), jangan guna
perisian pelayar (browser) sebaliknya gunalah perisian FTP dan pindah
terima (download) fail terus daripada pelayan FTP tersebut.
Jika mampu, langganlah talian ISDN ataupun jika menggunakan komputer di
pejabat, syorkan pihak pentadbiran agar menggunakan talian suwa
berkelajuan tinggi, sambungan gentian optik ataupun sistem rangkaian yang lebih
baik.

Apakah langkah-langkah yang perlu atau prosedur untuk membuat sebuah
laman Web (homepage) ?
Sebelum kita membuat sesuatu laman Web, pastikan dahulu di mana anda
hendak terbitkan (publish) atau tempatkan laman tersebut. Maksudnya, anda
perlu mengenal pasti tapak-tapak Web yang menawarkan ruang untuk laman Web
samada secara berbayar ataupun percuma. Uruskanlah tempahan laman anda di
tapak Web tersebut terlebih dahulu jika perlu. Fikirkan juga bahan-bahan atau
kandungan yang ingin anda muatkan dalam laman Web itu seperti maklumat
peribadi anda/syarikat anda, hobi/perniagaan dan sebagainya. Setelah
itukaranglah laman Web anda dengan perisian pengarangan yang sesuai. Bila
siap,hantarkan (upload) ia tapak Web berkenaan menggunakan perisian FTP.

Apakah nama-nama program yang membolehkan kita untuk membuat sesebuah
laman Web dengan baik serta mempunyai persembahan yang canggih ?

Terdapat pelbagai perisian di pasaran untuk kita membangunkan sesebuah
laman Web yang menarik. Antaranya ialah Netscape Communicator, Microsoft
FrontPage, Lotus Go, Webtricity (keluaran Micrografx), HotDog dan
lain-lain. Microsoft Office 97 dan Lotus Smartsuite 97 juga mempunyai komponen
yang membolehkan anda mengarang laman Web. Untuk menambah kesan khas kepada
laman Web, anda boleh gunakan perisian pembangunan aplet Java atau ActiveX.

Bagaimanakah cara untuk mendaftar laman Web kita dalam Internet dan
bagaimanakah tentang bayarannya ?

Untuk mendaftar sesebuah laman Web, anda boleh rujuk kepada enjin
pencari Yahoo, Excite, AltaVista dan sebagainya. Pengguna lain dapat mencari
laman Web anda berdasarkan kata kunci yang bersesuaian.

Saya hendak membuat laman Web (homepage) dan banyak melihat iklan di
Internet tentang laman Web percuma. Apakah pendapat pengarang tentang
hal ini? Adakah saya perlu membeli apa-apa perisian untuk membuat sebuah
laman Web?

Laman Web percuma seperti di http://www.geocities.com adalah baik
sebagai tempat permulaan untuk kita `membina rumah' di alam siber. Anda boleh
membuat sebuah laman Web mengenai peribadi, minat atau sebagainya
tentang anda. Anda juga tidak semestinya membeli sebarang perisian kerana
biasanya pengelola tapak Web yang menawarkan laman Web percuma berkenaan ada
menyediakan alat pengarangan yang bersesuaian. Jika anda inginkan
kebebasan dan membuat sendiri laman Web, anda boleh memindah terima (download)
perisian-perisian kecil pengarangan HTML (HTML editor) yang percuma
ataupun `shareware' dari Internet.

Saya mempunyai komputer jenis 486DX4-100MHz. Adakah perlu saya upgrade
untuk memasuki Internet?

Tidak perlu mempertingkatkan komputer anda kerana 486DX4-100MHz sudah
cukup, (malah komputer 8088 sekalipun boleh, cuma penggunaannya terbatas
kerana kebanyakan aplikasi Internet dibangun berasaskan Windows).

Apakah perbezaan antara `homepage', `web site', laman, halaman Web dan
pelayar Web?

`Homepage' adalah suatu halaman (atau satu muka surat) di alam siber
yang dipenuhi teks, grafik, animasi dan kesan bunyi. Laman adalah istilah
yangdisyorkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka bagi menggantikan perkataan
`homepage'. Halaman Web adalah istilah yang sering digunakan sebelum
ini untuk merujuk kepada `homepage'. Untuk mengelakkan kekeliruan pembaca,
kami menggunakan istilah `laman Web' untuk mewakili `homepage', `laman' dan
`halaman Web'. `Web site' pula adalah tapak Web iaitu merujuk kepada
komputer pelayan (server) yang digunakan untuk mengelola (hosting)
sesuatu laman Web. Manakala pelayar Web adalah perisian yang digunakan untuk
meluncur (surf) atau melayari (navigate) alam siber (Internet),
contohnya Internet Explorer dan Netscape Navigator.

Apakah yang dimaksudkan dengan HTML, WWW, HTTP, PSTN dan ISDN?

HTML - Hyper Text Markup Language iaitu bahasa skrip yang digunakan
untuk mengarang, membina dan menerbitkan laman Web di Internet. WWW - World
Wide Web iaitu jaringan sedunia untuk laman Web. HTTP - Hyper Text Transfer
Protocol iaitu satu kaedah pemindahan teks menerusi Internet yang
dijadikan standard. PSTN - Public Switching Telephone Network iaitu sistem
rangkaian analog telefon awam yang biasa digunakan, sistem telefon rumah/pejabat.
ISDN - Intergrated Services Digital Network iaitu sistem rangkaian
telekomunikasi digital yang lebih pantas, penggunaannya semakin diminati ramai tetapi
kos yang lebih tinggi berbanding PSTN.

Apakah kelebihan dan kekurangan Netscape Navigators dan Internet
Explorer? Yang manakah perisian terbaik untuk saya gunakan sebagai pelayar Web?

Netscape Navigator digunakan oleh 75 peratus pengguna Internet di
seluruh dunia dan dijual dengan harga sekitar RM188. Manakala Internet Explorer
pula diberikan percuma. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangannya. Tentu
ada sebab kenapa lebih ramai orang menyukai salah satu daripadanya.


1999/2000/2001
© Allright Reserved by
Mohd Hafiz Yahaya