Pembinaan tapak Web komersial

Pembinaan sebuah tapak Web komersial yang tidak terancang secara teliti belum tentu akan berjaya menarik
perhatian pengunjung apatah lagi untuk membuahkan hasil atau keuntungan yang diharapkan. Di sini tapak Web
komersial adalah merujuk kepada tapak-tapak Web yang boleh memberikan pulangan kewangan misalnya tapak
jualan barangan, pembekal perkhidmatan dan penyedia kandungan bermaklumat. Bagi memastikan tapak Web
komersial itu berjaya, anda harus merancang pembinaannya di peringkat awal lagi di samping membuat penelitian,
dan kajian mendalam terhadap beberapa aspek penting seperti mana yang tersenarai di bawah ini.

Jenis tapak Web : Sebelum membina tapak Web anda perlu menentukan bidang yang hendak diceburi. Anda
mungkin mempunyai beberapa idea seperti tapak jualan produk, pembekal perkhidmatan atau penyedia
kandungan bermaklumat. Selain itu anda juga perlu menjalankan kajian pemasaran dan potensi tapak Web
tersebut untuk memastikannya boleh menghasilkan keuntungan atau sebaliknya. Dalam kajian itu anda perlu
mengenalpasti keperluan orang ramai yang mungkin tidak disediakan pada tapak-tapak Web yang lain.

Kajian mendalam : Setelah idea tapak Web yang hendak dibangunkan telah dikenalpasti, seterusnya anda
perlu mengkaji secara terperinci konsepnya dari setiap sudut. Umpamanya, tapak penerbitan kandungan
bermaklumat mungkin merasakan tapak Web mereka boleh memenuhi keperluan pembaca di samping menjadi
saluran berpotensi untuk pihak pengiklan barangan. Sementara tapak Web untuk perdagangan pula mungkin
memikirkan tentang modal yang hendak dibelanjakan, saiz pasaran dan bahagian pasaran yang bakal dikuasai.

Berciri profesional : Sekiranya tapak Web diperagakan secara profesional, maka produk, perkhidmatan atau
kandungan yang disediakan mungkin tidak diragui. Sebuah tapak Web komersial yang kelihatan mudah
rekabentuknya mungkin lebih sesuai berbanding tapak Web yang kompleks dan tidak teratur. Malah, tapak Web
komersial tidak semestinya menggabungkan semua unsur multimedia untuk menarik perhatian pengunjung.
Oleh yang demikian, buatlah penilaian secara kritikal terhadap tapak Web yang hendak dibangunkan itu.

Mudah digunakan : Sebuah tapak Web yang bersifat mesra pengguna, bukan sahaja dapat dikendalikan
dengan baik, malah pengunjung boleh mengakses dan mencari keperluan mereka dengan mudah. Selain itu
sebuah tapak Web komersial harus menyediakan kemudahan yang dapat membantu para pengunjung seperti
enjin carian, katalog barangan, ikon peluncuran dan sebagainya. Tidak terkecuali juga ialah kemudahan untuk
pihak pembangun tapak Web tersebut bagi mengumpul pelbagai maklum balas daripada para pengunjungnya.

Perlu perubahan : Tapak Web komersial yang bersifat dinamik perlukan perubahan dari masa ke semasa
seperti maklumat dan idea terkini. Para pelangan mungkin mendapati tapak Web anda menjemukan sekiranya
ia masih menampilkan bahan yang sama setiap masa dan kunjungan mereka mungkin hanya sekali. Aspek ini
penting terutamanya bagi tapak Web yang berasaskan kepada penyediaan kandungan seperti berita. Sementara
tapak Web perniagaan boleh menampilkan pelbagai produk yang berbeza kategorinya dari masa ke semasa.

Berdaya saing : Walaupun tapak Web komersial anda berjaya dilancarkan, namun ia mungkin perlu dikaji
semula dari segenap aspek. Kajian semula ini adalah untuk memastikan tapak Web tersebut sentiasa mampu
bersaing sekaligus memastikannya sentiasa dikunjungi. Perlu diingat, pesaing anda mungkin sedang
memerhatikan tapak Web milik anda untuk mengenalpasti kelebihan dan kekurangannya. Sehubungan itu anda
perlu bertindak sedemikian rupa agar daya saing  tapak Web anda sentiasa dipertingkatkan dari masa ke semasa.


Kembali Ke Menu Tips Komputer


2000
© Allright Reserved by
Mohd Hafiz Yahaya