Menangani masalah yang melibatkan perkakasan
komputer biasanya mencabar. Bagi yang sudah berpengalaman, ia
mungkin menyeronokkan, namun mungkin agak
mengecewakan bagi pengguna baru. Sehubungan itu, Majalah PC
cuba menjelaskan kaedah-kaedah praktikal
untuk mengatasi beberapa masalah mudah yang melibatkan perkakasan
komputer anda. Contoh yang diketengahkan
di sini mungkin boleh menolong dan ianya boleh dilakukan sendiri.
Umumnya masalah gangguan pada perkakasan
komputer boleh berlaku pada bila-bila masa dan ia boleh dianggap
serius jika melibatkan proses ‘startup’.
Antara petunjuk berguna bagi masalah kerosakan ialah dengan terhasilnya
bunyi ganjil dari komputer tersebut apabila
ianya dihidupkan. Bunyi itu boleh jadi berpunca daripada kipas
pendingin haba yang hampir rosak atau
pemacu cakera kerasnya yang bakal lumpuh pada bila-bila masa sahaja.
Oleh yang demikian, yakni sebelum cakera
keras anda menjadi lebih teruk, anda disarankan supaya segera membuat
simpanan (backup) bagi semua fail-fail
penting. Rasionalnya mudah, memiliki salinan lain merupakan satu langkah
bijak untuk memastikan data tersebut terselamat
sekiranya berlaku kerosakan pada perisian dan perkakasan yang
digunakan. Penyimpanan ini boleh dilakukan
pada asas harian, mingguan, bulanan atau tempoh yang ditetapkan.
Sekiranya komputer anda lumpuh (crash)
dan bunyi cakera kerasnya kedengaran luar biasa, ini mungkin bermakna
komputer tersebut berpotensi untuk mengalami
kerosakan yang tidak diduga. Jadi simpanlah (save) maklumat di
dalam program yang sedang dibuka dan mulakan
pengenalpastian punca masalahnya dari peringkat paling asas.
Berikut adalah beberapa contoh masalah/gangguan
biasa pada perkakasan komputer dan cara untuk menanganinya.
Bekalan kuasa : Apabila skrin monitor anda
secara tiba-tiba gelap (blank) dan tiada sebarang paparan
antaramuka aplikasi yang sedang berfungsi,
maka langkah pertama yang perlu dilakukan ialah memeriksa
bekalan kuasa untuk kesemua perkakasan
sistem komputer anda. Misalnya, sesetengah kabel bekalan kuasa
monitor dipalamkan pada bahagian belakang
komputer dan ada pula dipalam kepada outlet AC. Jadi, palam
(palam) bekalan kuasa itu boleh jadi longgar
dan anda perlu memastikan semua palam dipalamkan dengan baik.
Sekiranya kabel bekalan kuasa komputer
anda dihubungkan kepada sebuah ‘strip’ (soket sambungan) bekalan
kuasa, maka pastikan setiap soketnya mempunyai
suis. Lihat juga pada lampu yang menandakan suis kuasa
untuk semua peralatan telah dibuka, di
mana suisnya perlu berada pada kedudukan ‘on’ (buka). Jika ia masih
tidak berfungsi, maka soket kuasa
itu mungkin bermasalah – misalnya fius terbakar. Bagi menguji sesebuah
palam kabel kuasa yang dirasakan rosak,
anda boleh memalamkannya kepada soket lain yang boleh berfungsi.
Halangan boot : Halangan semasa menghidupkan
komputer boleh jadi berpunca daripada disket kerana
komputer boleh diboot mengikut arahan
yang terdapat pada disket (yang disisipkan pada pemacunya semasa
proses boot/menghidupkan komputer dilakukan)
atau cakera keras komputer anda. Kebanyakan komputer telah
ditetapkan untuk membaca arahan pada disket
yang disisipkan dan jika proses boot gagal dilakukan, maka
komputer akan beralih kepada cakera keras.
Proses ini biasanya berlaku apabila komputer anda dibootkan
semula atau dihidupkan buat pertama kali.
Andainya sekeping disket tertinggal di
dalam pemacunya, maka biasanya komputer anda akan menggunakan
prosedur yang berbeza. Jika kandungan
disket itu tiada arahan startup, komputer tersebut akan memaparkan
mesej ralat pada skrin yang memberitahu
anda supaya menggantikan atau mengeluarkan disket tersebut.
Namun, sekiranya disket itu mengandungi
arahan startup untuk melakukan proses boot, maka komputer anda
akan dibootkan menerusi disket yang kemudiannya
akan memasuki paparan DOS dan bukannya Windows.
Sambungan : Satu lagi masalah yang biasa
pada perkakasan komputer ialah kabelnya yang dipasangkan
dengan tidak kemas. Semua peralatan komputer
biasanya memiliki kabel kuasa dan data yang dihubungkan
kepada komputer dan anda perlu memastikan
penyambungannya tidak longgar. Kadangkala ada pengguna yang
cuba memasangkan jenis kabel yang berbeza
secara tidak sengaja atau memang tidak tahu. Sekiranya anda
mendapati kabel tersebut tidak secocok,
maka jangan cuba untuk memaksanya kerana ia boleh merosakkan.
Sementara itu wayar telefon yang dihubungkan
kepada modem mungkin menghadapi masalah. Sebuah modem
biasanya mempunyai saluran penghubung
(connection) yang dilabelkan sebagai Line In, Line Out atau Phone.
Jadi, anda perlu menghubungkan wayar berkenaan
pada soket yang betul (rujuk labelnya) dan satu lagi
penghubung perlu disambungkan kepada wayar
telefon. Untuk pengetahuan anda, telefon yang dihubungkan
kepada sebuah modem yang sedang berfungsi,
jika diangkat ganggangnya selalu akan menyebabkan gangguan.
Tetikus : Sebuah tetikus (mouse) yang sudah
lama digunakan biasanya diselaputi kekotoran pada bahagian
dalamnya sehingga sensitiviti bebola dan
‘roller’nya kadangkala terganggu. Selain itu penunjuk anak panah
(pointer) pada skrin mungkin tidak berganjak,
walaupun tetikus itu digerakkan berulang kali. Satu-satunya cara
berkesan untuk mengatasi masalah ini ialah
membersihkan segala kekotoran pada roller atau bebola tersebut.
Papan kekunci : Selain tetikus, papan kekunci
(keyboard) juga boleh menimbulkan masalah ketika menaip
seperti gangguan pada kekuncinya. Contohnya,
anda mungkin secara tidak sengaja tertekan kekunci tertentu
pada papan kekunci itu sehingga menyebabkan
ia diaktifkan. Jadi, antara kekunci yang perlu diberi perhatian
ialah kekunci yang berlabel CAPS LOCK
dan NUM LOCK. Selain kekunci, kabel papan kekunci yang longgar
mungkin perlu diketatkan dan proses boot
semula mungkin perlu dilakukan supaya ianya kembali berfungsi.
Bunyi : Jika masalah yang dihadapi melibatkan
bunyi (sound), anda mungkin perlu memeriksa pembesar suara
(speaker) yang digunakan untuk memastikan
kabel bekalan kuasa dibuka dan wayarnya dipalamkan pada
soketnya yang betul. Selain itu anda mungkin
perlu memeriksa ‘volume’nya untuk memastikan suisnya terbuka
(on) atau tertutup (off). Sistem operasi
(OS) popular seperti Win95 dan Win98 ada menyediakan kawalan
volume pada bahagian taskbar desktop.
Jadi, pastikan wayar pembesar suara, tidak dipasangkan pada soket lain.
CD-ROM : Fungsi pemacu CD-ROM akan terganggu
sekiranya anda memasukan cakera padat (CD) secara
terbalik, permukaannya bercalar atau dilekati
dengan kekotoran di atas permukaannya. Kadangkala anda perlu
memasangkan program untuk memainkan kandungan
CD tersebut terlebih dahulu atau mengklik sebanyak dua
kali pada ikonnya sebelum ia boleh berfungsi.
Sekiranya CD tersebut masih gagal untuk dimainkan, sila buka
pada bahagian My Computer dan klik dua
kali pada ikon berlabel D (untuk pemacu CD-ROM).
Paparan : Apabila monitor anda gelap (blank)
setelah komputer dihidupkan, pastikan kabel kuasa dan kabel
data disambungkan dengan betul dan kemas,
selain itu cuba ubahsuai bebutang kawalan pada monitor tersebut.
Biasanya monitor dilengkapi dengan tombol
(knob) atau bebutang (button) untuk mengawal ciri-ciri komputer
tersebut seperti kontras, kecerahan dan
beberapa ketetapan lain. Kadangkala paparan monitor terjejas kerana
gangguan pada kad video yang digunakan
- misalnya gangguan gelombang elektomagnet atau kad video itu
longgar. Jadi, cuba jauhkan monitor tersebut
dari punca gangguan atau kad video yang longgar diketatkan.
Cetakan : Disebabkan pencetak merupakan
sebuah peranti mekanikal - terdiri daripada beberapa komponen
lain yang boleh ditanggalkan - maka ia
kadangkala boleh menghadapi masalah atau gangguan. Katakanlah
kabel bekalan kuasa telah dibuka dan dipalamkan
dengan betul, namun masalah lain tetap boleh berlaku seperti
kertas tersekat (jam) di dalamnya atau
dakwat/toner kehabisan. Selain itu anda mungkin perlu memeriksa
ketetapan (setting) pada kekotak dialog
pencetak untuk mempastikan arahan cetakan boleh dilaksanakan.
2000
©
Allright Reserved by
Mohd
Hafiz Yahaya