Make your own free website on Tripod.com
 
Ibnu Khaldun
(732 Hijrah - 808 Hijrah)


Kelahiran dan kehidupan beliau:
- Nama penuh beliau ialah Abdul Rahman bin Muhammad bin Abu Bakar Muhammad bin Al-Hasan.
- Ibnu Khaldun dilahirkan di Tunisia pada tahun 732 Hijrah di dalam sebuah keluarga yang berketurunan Arab di mana nasabnya sampai kepada seorang sahabat yang bernama Wa'il bin Hajar. Asal-usul keturunan beliau sampai kepada Kabilah Yaman di Hadhramaut. Datuk nenek beliau telah berhijrah ke Qarmunah di Andalusia. Orang pertama yang memasukinya dari kalangan datuk nenek mereka ialah Khalid bin Othman. Beliau digelarkan dengan Ibnu Khaldun dengan menambah huruf Wau dan Nun ke dalam nama Khalid sebagaimana yang biasa dilakukan oleh penduduk Andalusia.
- Bapa beliau adalah merupakan seorang yang fakih di mana dia mengorbankan seluruh kehidupannya untuk fekah dan sastera.
- Ibnu Khaldun dibesarkan di Tunisia di mana beliau memulakan kehidupan beliau dengan menghafal Kitab Suci Al-Quran dan Tajwid sebagaimana beliau juga turut mempelajari pelbagai disiplin ilmu Arab dan syariah serta bahasa Arab melalui bapa beliau. Bapa beliau sentiasa mengambil berat supaya Ibnu Khaldun berguru dengan ulama-ulama yang mahir di dalam bidang-bidang tertentu untuk mempelajari ilmu tersebut pada zamannya.
- Pada peringkat awal usia beliau, Ibnu Khaldun bekerja di jabatan kerajaan dalam jangka masa yang agak lama.
 

Pengembaraan beliau:
- Ibnu Khaldun meninggalkan Tunisia menuju ke Biskara di Algeria seterusnya beliau tinggal menetap di sana kemudian beliau merantau lagi dari sana ke Constantinople setelah itu beliau berhijrah pula ke Fes dengan meninggalkan keluarga beliau di Constantinople.
- Ibnu Khaldun tinggal menetap di Fes di mana pada masa tersebut Fes merupakan pusat ilmu pengetahuan di negara Islam Morocco.
- Semasa menetap di Fes, Ibnu Khaldun sangat tekun membuat penyelidikan, membaca serta berjumpa dengan ilmuan-ilmuan dari kalangan penduduk Morocco dan Andalusia di samping mengunjungi perpustakaan-perpustakaan yang terdapat di Fes untuk memperluas pembacaannya dan merealisasikan keinginannya di lapangan ilmu. Dalam tempoh tersebut beliau telah berjaya menggariskan rangka kasar "Mukadimah" kitabnya "Al-Ibar".
- Kemudian Ibnu Khaldun merantau ke Andalusia seterusnya beliau merantau pula ke Algeria. Di sana beliau bertugas sebagai penasihat Sultan dan khatib di Jamie' Al-Qasabah serta mengajar ilmu agama di Jamie' tersebut di samping kerja-kerja beliau di dalam lapangan politik.
- Setelah berlalu tujuh tahun, beliau merantau pula ke Telmesen bersama dengan keluarganya kemudian beliau berhijrah pula ke Fes. Semasa menetap di sana beliau tekun membaca dan mengajar ilmu agama. Seterusnya beliau merantau sekali lagi ke Andalusia seorang diri dengan meninggalkan keluarga beliau di Fes. Kemudian beliau memasuki Granada setelah itu beliau keluar semula dan kembali ke Morocco.
- Ibnu Khaldun sempat berjumpa sekali lagi dengan keluarga beliau di Telmesen. Beliau tekun mengarang dan membaca untuk beberapa ketika semasa berada di sana kemudian beliau meninggalkan tempat tersebut menuju ke Kota Bani Salamah di Algeria seterusnya beliau tinggal di sana selama empat tahun dan dalam tempoh tersebut yang penuh dengan ketenangan dan keheningan beliau sempat mengarang sebuah kitab yang bertajuk "Al-Ibar". Setelah itu beliau menyunting kitab tersebut serta melampirkannya dengan sejarah pelbagai bangsa seterusnya beliau kembali semula ke Tunisia.
 

Menetap di Kaherah:
- Pada tahun 784 Hijrah Ibnu Khaldun berazam untuk menunaikan ibadat Haji di Baitullah. Lantas beliau menaiki kapal menggunakan jalan laut selama 40 hari sehinggalah beliau tiba di Iskandariah. Ketibaan beliau di sana tepat sepuluh hari selepas Raja Az-Zahir Barquq ditabalkan menjadi Raja memegang teraju pemerintahan kerajaan Mesir dan beliau tidak dapat mengerjakan ibadat Haji pada tahun tersebut menyebabkan beliau membatalkan hasrat tersebut dengan merantau ke Kaherah.
- Semasa berada di Kaherah beliau sentiasa dikunjungi oleh penuntut-penuntut ilmu lantas beliau mengajar di Jamie' Al-Azhar menyebabkan kedudukan beliau terus melonjak tinggi dan dihormati oleh Sultan Barquq. Setelah berlalu beberapa ketika beliau berada di Kaherah, Ibnu Khaldun menghantar surat kepada keluarga beliau meminta supaya datang ke Kaherah, tetapi Sultan Tunisia menolak permintaan tersebut kerana dia masih mengharapkan semoga Ibnu Khaldun kembali semula ke sana. Persoalan ini mendapat perhatian daripada Sultan Barquq di mana Sultan Barquq bersetuju menulis surat kepada Sultan Tunisia mengemukakan permintaan tersebut.
- Ibnu Khaldun dilantik menjadi guru di sekolah Al-Qamhiyyah yang terletak di pinggir Masjid Amru bin Al-As kemudian beliau dilantik pula sebagai seorang Qadi mazhab Maliki di Mesir. Dalam tempoh tersebut keluarganya datang dari Tunisia di dalam sebuah kapal kemudian kapal tersebut ditimpa ribut taufan sehinggalah kapal tersebut tenggelam menyebabkan kesemua keluarga beliau mati lemas. Peristiwa tersebut menyebabkan beliau terlalu sedih malah peristiwa tersebut merupakan musibah yang sangat besar kepada beliau menyebabkan beliau berazam untuk meletak jawatannya dan beliau mendapati tidak ada sesuatu yang boleh menghiburkan hati beliau selain dari mengorbankan kembali diri beliau untuk ilmu, mengajar, membaca dan mengarang.
- Ibnu Khaldun tinggal di Mesir selama hampir 24 tahun. Beliau tidak pernah meninggalkan negara Mesir kecuali sekali untuk mengerjakan ibadat Haji, manakala kali kedua untuk menziarahi Baitulmuqaddis dan kali ketiga pula ialah untuk berjumpa dengan Timurlank di Syam.
 

Pencapaian beliau:
- Ibnu Khaldun hanya meninggalkan beberapa buah sahaja kitab karangan beliau di mana yang paling terkemuka ialah kitab: (Al-Ibar Wa Diwan Al-Mubtada' Wal Khabar Fi Ayyam Al-Arab Wal Ajam Wal Barbar).
- Di antara pencapaian terbesar beliau ialah, beliau merupakan pengasas sebenar ilmu kemasyarakatan, ilmu seni bina bangunan dan juga pengasas ilmu sejarah.
 

Kematian beliau:
- Pada bulan Ramadan tahun 808 Hijrah, beliau meninggal dunia di Mesir dan dikebumikan di sana.
 

Kembali Ke Menu Tokoh Islam

1999/2000
© Allright Reserved by
Mohd Hafiz Yahaya